Haslina dilantik sebagai CEO wanita pertama LADA
zulfadli
18/12/2023 - 12:22
KUALA LUMPUR 18 Dis - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memasuki era baharu kepemimpinan dengan pelantikan Datuk Haslina Abdul Hamid, selaku ketua pegawai eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa Jumaat lalu.
Beliau sebelum ini Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), selain pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Jawatan CEO LADA kosong selama 10 bulan selepas Nasaruddin Abdul Muttalib dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam, awal Februari lalu.
LADA menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasminya, mengalu-alukan pelantikan Haslina bagi menerajui agensi di bawah Kementerian Kewangan itu.
"Seluruh pengurusan dan warga kerja LADA merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan selamat datang ke LADA kepada Datuk Haslina Abdul Hamid sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu," menurut kenyataan itu.
Haslina berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun dengan jawatan pertama sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Mac 1996.
Beliau lulusan Sarjana Undang-Undang dari Universiti Keio, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pentabiran (Kepujian) dari Universiti Malaya, lapor Berita Harian.
LADA diperbadankan di bawah Akta Parlimen (Akta 423) dan ditubuhkan pada 15 Mac 1990. - DagangNews.com


