
SEPANG - Hasrat menyambut hari lahir anak tersayang yang jatuh pada 27 Ogos ini tidak kesampaian selepas pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 53, maut dalam nahas pesawat ringan di Elmina pada Khamis lalu.
Isteri Allahyarham, Suriana Muda, 43, berkata, dia dan suami merancang untuk membuat kejutan sempena hari lahir puteri bongsu mereka Nur Izzara Arissya yang ke sembilan tahun.
Menurutnya, hadiah juga telah dibeli seminggu lalu dan masih disimpan rapi untuk diberikan kepada anaknya pada hari lahir nanti.
"27 Ogos ini kami dah rancang untuk buat suprise, hadiah pun arwah dah beli seminggu lalu namun rancangan itu tidak kesampaian.
"Hari lahir anak-anak memang kami tak pernah lupa terutama Nur Izzara Arissya, anak bongsu yang manja dengan arwah," katanya selepas selesai majlis pengebumian jenazah Sharipuddin di Tanah Perkuburan Islam Sultan Hishamuddin Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) pada Ahad.
Jenazah tiba di Masjid Sultan Hishamuddin BBST untuk disolatkan jam 12.20 tengah hari dan selesai disemadikan jam 12.50 tengah hari.
Ditanya mengenai hadiah dimaksudkan, Suriana bagaimanapun hanya mendiamkan diri dan tidak bersedia untuk berkongsi kepada umum.
**media[2314194]**
Suriana berkata, arwah menunjukkan perubahan sikap apabila lebih manja daripada biasa selain sempat berbalas WhatsApp setengah jam sebelum kejadian.
"Arwah ada mesej maklumkan hantar pelanggan dari KLIA ke Shah Alam. Kemudian minta saya ambil anak dari sekolah. Arwah juga sempat telefon beritahu dia berhenti minum TTDI (Taman Tun Dr Ismail).
"Beberapa hari sebelum kejadian nampak perubahan arwah, dia berat untuk pergi kerja seperti memaksa diri dan selalu nak bersama dengan saya," katanya.
Dalam pada itu, Suriana memaklumkan yang kereta Nissan Almera digunakan arwah suami baharu digunakan enam bulan lalu.
"Dia bawa Grab dah lama cuma sebelum ini guna kereta kawan dan buat sewa beli. Selepas ada rezeki lebih, baharulah beli kereta sendiri Mac lalu.
"Kami beli dengan duit yang telah dikumpul. Kira sempat pakai enam bulan saja kereta itu," katanya.
Dalam kejadian Khamis, seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas pesawat ringan terhempas di Elmina membabitkan dua kru pesawat, enam penumpang serta dua orang awam.
Sharipuddin yang melalui jalan itu ketika kejadian maut selepas pesawat terhempas mengenai kereta dipandunya.
ARTIKEL BERKAITAN:

