Hasselblad X2D II 100C dilancarkan semalam dengan ia membawakan beberapa peningkatan berbanding Hasselblad X2D 100C yang dilancarkan tiga tahun lalu. Sekilas pandang kedua-dua kamera nampak serupa tetapi sebenarnya tidak sama.

Walaupun sensor masih lagi menggunakan sensor 100MP BSI, ia kini dipertingkat dengan kemampuan melakukan autofokus berterusan serta sistem HDR hujung-ke-hujung buat pertama kalinya pada kamera digital Hasselblad.
ISO ini adalah antara 50 hingga 25,600. Sistem autofokus mempunyai 425 titik PDAF berbanding 294 titik pada model terdahulu sementara sistem IBIS 5-paksi kini adalah sehingga 10 stops berbanding 7 stops. Dengan penambahbaikan ini, Hasselblad berkata X2D II 100C adalah sehingga lapan kali ganda lebih stabil untuk sesi fotografi dedahan panjang.

Skrin 3.6″ OLED dengan sokongan sentuhan kini 75% lebih terang dan menu boleh dikawal menerusi butang kawalan 5D pada sisi kanan tubuh. Tubuh masih diperbuat daripada satu bongkah aluminium tetapi lebih ringan.
Bateri 3400-mAh membolehkan sehingga 327 gambar dalam format 3FR RAW atau 466 gambar tanpa HDR diambil dengan sekali caj. Kamera dilengkapi storan 1 TB SSD dengan sokongan kad memori CFExpress Type B. Harga jualan ia $7399 (~RM 31,290) sebuah hanya untuk tubuh Hasselblad X2D II 100C.
