Hati-hati dengan hantaran palsu - Kementerian Kewangan

2 Oct 2023 • 12:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kementerian Kewangan menerusi hantaran di aplikasi X meminta orang ramai untuk berhati-hati dengan hantaran palsu berkenaan Bantuan Asas Rahmah.

SHAH ALAM - Kementerian Kewangan menegaskan bahawa hantaran berkaitan Bantuan Asas Rahmah RM1,000 melalui MyKad yang tular di media sosial adalah palsu.

Dalam satu hantaran di aplikasi X, kementerian tersebut turut meminta orang ramai agar tidak terpedaya dengan berita yang tidak sahih.

“Ini adalah palsu. Kementerian Kewangan menegaskan bahawa maklumat mengenai bantuan seperti yang ditularkan ini palsu,” katanya pada Isnin.

Berdasarkan hantaran yang tular itu, ia meminta orang ramai untuk menekan satu pautan dan perlu memasukkan nombor telefon serta kad pengenalan kononnya bagi tujuan semakan.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan meminta orang ramai untuk merujuk semula siaran media berkenaan Sumbangan Asas Rahmah (SARa).

“Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan boleh diperoleh di Portal Rasmi STR bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARa pula boleh dirujuk melalui mykasih.com.my,” katanya.