
Kota Kinabalu: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) memberi amaran kepada orang ramai mengenai sebuah laman sesawang palsu menggunakan domain qhazanah.com yang secara haram memaparkan logo anak syarikatnya dan mempromosikan skim pelaburan palsu.
Syarikat pelaburan negeri Sabah itu, dalam kenyataan di sini pada Ahad, mengesahkan bahawa laman palsu terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan firma berkenaan, dengan satu-satunya laman sesawang rasmi ialah qhazanahsabah.com.my.
Platform penipuan itu didapati direka untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan mangsa melalui tawaran pelaburan tidak sah yang menyamar sebagai usaha rasmi QSB.
QSB melaporkan penipuan itu kepada pihak berkuasa dan agensi keselamatan siber, dengan siasatan kini sedang dijalankan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa ia tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian akibat urusan dengan laman palsu berkenaan.
Orang ramai digesa lebih berhati-hati dan mengelakkan daripada berurusan dengan platform palsu terbabit. Sesiapa yang mengesan aktiviti mencurigakan diminta segera menghantar emel ke communications@qhazanahsabah.com.my.
QSB berkata melindungi integriti jenama dan kepercayaan awam kekal menjadi keutamaan sebagai kenderaan pelaburan strategik Sabah.


