Hati-hati! Snek lewat malam memang sedap, tapi risiko jantung & tekanan darah tinggi menunggu. Doktor ini kongsi tip praktikal

Health & Fitness
14 Aug 2025 • 5:40 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

KESIHATAN jantung sering kali dikaitkan dengan tekanan darah tinggi, kolesterol, dan gaya hidup tidak aktif. 

Salah satu aspek yang sering diabaikan tetapi sangat berbahaya adalah tabiat makan lewat malam. 

Kajian dan pandangan pakar menunjukkan amalan itu bukan sahaja mengganggu pola tidur, malah boleh meningkatkan risiko penyakit jantung secara senyap. 

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Clinical Endocrinology & Metabolism (2017) mendapati, makan lewat malam menyebabkan peningkatan tekanan darah sepanjang malam serta mengganggu kawalan glukosa dalam darah, dua faktor utama yang menyumbang kepada penyakit kardiovaskular. 

image is not available

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al Farhain, Dr Afif Mohd Ridzwan, amalan makan malam selepas pukul lapan malam boleh mengganggu fungsi jantung. 

“Makan malam seeloknya sebelum pukul 8 malam kerana jantung memerlukan rehat. Jika kita makan lewat malam, sistem penghadaman akan bekerja ketika tubuh sepatutnya dalam mod rehat. Ini memberi tekanan kepada jantung,” jelas beliau. 

Tubuh manusia berfungsi mengikut ritma sirkadian, iaitu jam biologi semula jadi yang mengawal pelbagai fungsi fisiologi termasuk tidur, tekanan darah dan metabolisme. 

Apabila kita makan lewat malam, proses pencernaan akan terus berlaku dan ini mengganggu keseimbangan hormon serta tekanan darah, yang sepatutnya menurun pada waktu malam. 

Makan ketika tubuh tidak aktif boleh menyebabkan makanan tidak digunakan sebagai tenaga dan disimpan sebagai lemak, terutamanya di bahagian perut. 

PETUGAS KESIHATAN

Lemak viseral itu mempunyai kaitan langsung dengan penyumbatan salur darah dan kolesterol tinggi, yang boleh menyebabkan serangan jantung dan strok. 

Menurut kajian oleh Obesity Reviews (2019), pengambilan makanan tinggi kalori pada waktu malam boleh meningkatkan risiko obesiti, diabetes jenis 2 dan penyakit jantung koronari. 

Dalam pada itu, Dr Afif turut menasihati golongan yang bekerja waktu malam supaya lebih berhati-hati. 

image is not available

“Pekerja syif pendek seperti petugas kesihatan mengalami gangguan tidur yang kerap. 

“Tidur yang tidak mencukupi dan tidak berkualiti menyebabkan peningkatan hormon kortisol (hormon stres), sekali gus menyumbang kepada risiko keradangan dalaman dan darah beku yang menjadi faktor penyebab utama serangan jantung. 

“Syif pendek ini mengganggu waktu tidur dan pola makan. Keletihan kronik boleh menyebabkan prestasi menurun, kemurungan, insomnia bahkan serangan jantung,” ujarnya lagi. 

Pada masa sama, beliau turut menasihati supaya masyarakat mengubah gaya hidup dengan memastikan pengambilan makanan lebih awal dan memilih sajian yang kurang kalori serta tinggi serat jika diperlukan sebelum tidur. Sebagai contoh, sup sayur, buah naga, susu dan sebagainya. 

“Kita berusaha untuk sihat kerana itulah harta paling berharga. Duit banyak pun tidak guna bila sudah sakit. Maka, cegahlah sebelum parah,” katanya.