“Hati Ini Remuk & Tak Akan Pulih” -Luah Ibu Mangsa Tikam Di Sekolah

LocalFamily & Parenting
16 Oct 2025 • 10:16 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Hati seorang ibu hancur luluh selepas kehilangan anak perempuan kesayangannya yang menjadi mangsa tikam di sekolah sehingga maut.

Ibu mangsa tikam di sekolah gambarkan anak seorang gadis yang baik

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, ibu mangsa dalam satu hantaran di Facebook menggambarkan anaknya sebagai seorang gadis manis, berhemah tinggi dan penuh kasih sayang, selain tidak pernah menimbulkan kerisauan kepada keluarga.

“Dia sentiasa bertimbang rasa, tidak pernah meminta apa-apa untuk dirinya sendiri.
“Kelembutan dan kematangannya membuatkan dia disayangi oleh semua yang mengenalinya,” tulis ibu itu dengan nada pilu yang cukup menyentuh hati.

image is not available

Hati ibu mangsa tikam di sekolah remuk

Beliau menzahirkan rasa tidak tergambar apabila anak sebaik itu menemui nasib begitu tragik di tangan suspek lelaki berusia 14 tahun yang juga rakan sekolah mangsa.

“Dia anak yang begitu baik tapi mengapa takdirnya begitu kejam.
“Saya tiada kata… hati ini remuk dan tidak akan pulih,” luahnya dalam perkongsian penuh emosi itu.

image is not available

Ibu sentiasa sayang & rindu

Dalam hantaran sama, si ibu turut menzahirkan harapan agar roh anaknya tenang dan bahagia di alam abadi.

“Ibu akan sentiasa sayang dan rindukan kamu, anakku,” katanya lagi.

image is not available

Artikel lain: Hati Bapa Suspek Tikam Pelajar Remuk, Sedar ‘Maaf’ Tak Cukup Buat Keluarga Mangsa

Beliau sempat mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas doa dan sokongan yang diterima, serta memohon agar semua terus menitipkan doa buat roh anaknya.

Difahamkan, upacara penghormatan terakhir akan diadakan pada Isnin depan, manakala penghormatan bermula hari ini di Nirvana Kuala Lumpur.

Sementara itu, suspek berusia 14 tahun telah direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi membantu siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati tindakan suspek dipercayai berpunca daripada emosi tidak terkawal serta pengaruh media sosial.

Sumber: Malaysia Gazette ( Kasthuri Jeevendran)