
KUALA LUMPUR - Bapa kepada suspek dalam kes tikam seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama semalam, berkata hatinya hancur berikutan kejadian berkenaan.
"Saya amat sedih anak saya lakukan ini.
“Saya tahu apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak memberi sebarang makna.
"Tidak kira apa yang saya lakukan, ia tidak akan mengembalikan anak perempuan mereka. Saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan mereka," katanya, menurut laporan China Press.
Lelaki berkenaan yang berusia 40 tahun dan enggan mendedahkan nama berkata, dia terkejut serta tidak menyangka, anaknya yang merupakan seorang yang pendiam sanggup bertindak sedemikian rupa.
Menurut lelaki berkenaan, pada hari kejadian, dia menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi seperti biasa dan tidak melihat sebarang kelakuan luar biasa pada anaknya.
Dia juga tidak menyangka perkara seperti itu akan berlaku.
Pelajar berusia 14 tahun itu didakwa telah menikam mangsa berusia 16 tahun sekitar jam 9.30 pagi, ketika waktu persekolahan.
Dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut telah dirampas oleh polis, dan suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302, kanun keseksaan. - 15 Oktober, 2025
The post ‘Hati saya hancur, saya tidak tahu bagaimana hendak berdepan keluarga mangsa,’ kata bapa suspek kes tikam pelajar appeared first on Scoop.
