‘Hayati Kesederhanaan Dizahirkan Ibada Haji, Kekal Tawaduk’ - PM

LocalPolitics
26 May 2026 • 8:28 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Hayati Kesederhanaan Dizahirkan Ibada Haji, Kekal Tawaduk’ - PM

KUALA LUMPUR - Semua umat Islam di negara ini diseru menghayati menghayati pesanan kesederhanaan dizahirkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia harus menjadi jambatan utuh ke alam akhirat, iaitu negeri yang abadi dan kekal selamanya.

Menurut beliau, setiap individu tidak seharusnya membiarkan diri  terpesomg dari tujuan dan landasan sebenar.

“Kebesaran dan kemuliaan Hari Raya Aidiladha pasti merujuk kepada teladan pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s atas ujian yang dihadapi, serta memperlihatkan hikmah dan rahsia Allah SWT, Tuhan Yang Maha Esa. 

“Di sebalik ikhtiar dan usaha yang dilakukan dalam mendepani pelbagai cabaran yang mendatang, pasti ada pengorbanan yang harus menjadi prasyarat,” katanya menerusi perutusan Aidiladha. 

Jelas Perdana Menteri, pemgorbanan yang dilakukan hari ini memiliki harga tersendiri dalam pelbagai perkara, sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan.

“Semuanya punya penekanan dan manifestasi masa hadapan. 

“Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga.,” katanya. 

Memetik firman Allah dalam Surah al-Saffat ayat 99-102, Anwar berkata, hidup tidak akan bermakna tanpa pengorbanan dalam hidup. 

“Sesuatu yang dikorbankan adalah sesuatu yang memang menjadi kemahuan manusia; harta, keluarga dan kedudukan. 

“Oleh dengan itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya,” katanya. 

Perdana Menteri menarik perhatian, hikmah menunaikan Haji merupakan antara kurniaan terbesar Ilahi kepada hamba-Nya. 

“Kita mengenang manasik Haji sebagai salah satu rukun Islam. Haji punyai maqasid kerohanian yang tersendiri yang bertujuan memadrasahkan jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana. 

“Tatkala berihram dengan pakaian serba putih dan kosong, kita diasuh dengan nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan,” katanya. 

Jelas beliau, segala busana mewah dan lencana kehormat akan ditinggalkan tatkala menunaikan Haji, manakala saat berwukuf di Padang Arafah bakal membugar rasa insaf dan tawaduk di hadapan Allah SWT.

“Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menyempurnakan agihan 260 ekor lembu korban MADANI kepada masyarakat di Permatang Pauh hari ini, merangkumi tiga DUN iaitu Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.

Anwar berkata, ibadah korban dan Haji tidak pernah terpisah daripada makna pengorbanan, ketabahan serta kepatuhan yang mutlak kepada Allah SWT sebagaimana dirakamkan dalam Al-Quran al-Karim melalui kisah agung Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. 

“Dari pengorbanan itulah lahirnya nilai ihsan, kesabaran dan kekuatan jiwa dalam menghadapi bala, ujian serta krisis kehidupan.

“Aidiladha harus mengajar kita bahawa kekuatan umat dan negara tidak dibina atas kebencian dan perpecahan, tetapi melalui pengorbanan, kesatuan hati dan kesediaan memikul amanah demi rakyat serta tanah air tercinta,” katanya. - Getaran, 26 Mei 2026