Hayati legasi seni P. Ramlee

LocalEntertainment
9 Aug 2026 • 11:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hayati legasi seni P. Ramlee

GANDINGAN serasi Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Biduanita Negara Puan Sri Saloma bukan pasangan asing dalam industri hiburan tanah air.

Legenda seni serba boleh P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh yang dikenali sebagai pelakon, pengarah, penyanyi dan komposer itu telah meninggalkan warisan yang terus dihargai sehingga ke hari ini.

Bagi peminat yang ingin menelusuri perjalanan hidupnya, kediaman Allahyarham di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur yang kini dikenali sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee menjadi antara destinasi bersejarah yang menyimpan pelbagai kisah, kenangan dan koleksi termasuk barangan peribadi.

Beroperasi setiap hari Selasa hingga Ahad bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, pengunjung dibawa mengikuti sejarah latar belakangnya sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam bangunan.

Pengunjung dapat melihat tentang sejarah hidupnya termasuk zaman persekolahan sehingga ke perjalanan kerjaya seni beliau sebagai anak seni yang tiada galang gantinya.

Setiap sudut memaparkan kisah perjuangan, dedikasi dan sumbangan beliau yang terus mekar sebagai warisan seni negara sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi masa kini.

Image from: Hayati legasi seni P. Ramlee
Orang ramai dapat menelusuri sejarah perjalanan hidup legenda seni tanah air terulung itu.

Tidak dikenakan sebarang bayaran kerana masuk adalah percuma, lokasi ini boleh menjadi destinasi menarik untuk dikunjungi sekeluarga khususnya buat warga kota.

Menurut pengunjung, Nuryn Hafiz, meskipun ruang pamerannya tidak terlalu besar, namun setiap sudut dimanfaat dengan baik dalam memaparkan pelbagai koleksi yang mempunyai sejarah tinggi.

“Di sini pelbagai gambar, dokumen, keratan akhbar, pakaian, anugerah, alat muzik dan barangan yang pernah digunakan Allahyarham dipamerkan dengan kemas serta menarik.

“Setiap koleksi yang dipertonton kepada umum terakam kisah perjalanan tentang seorang anak seni yang bermula daripada kehidupan sederhana sehingga muncul sebagai ikon hiburan dan disegani di Nusantara.

“Ibu bapa juga boleh memperkenalkan Allahyarham kepada anak-anak melalui karya-karya beliau yang masih malar segar sehingga hari ini.

“Usaha ini bukan sahaja dapat memupuk penghargaan terhadap warisan seni tanah air, malah mendidik generasi muda agar terus mengenang legenda genius yang telah mengharumkan nama negara,” katanya kepada CitaRasa.

Image from: Hayati legasi seni P. Ramlee
P.Ramlee dan Saloma legenda seni yang memberikan inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Barangan peribadi seperti piano, kereta, meja makan dan televisyen yang pernah digunakan beliau ketika hayatnya turut menjadi antara tarikan di situ.

Kunjungan ke Pustaka Peringatan P. Ramlee bukan sekadar melawat tempat bersejarah tetapi satu penghormatan buat legasi seni ikon kebanggaan Malaysia itu.

Rumah banglo setingkat ini juga merupakan kediaman terakhir beliau sekeluarga sehingga P.Ramlee menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 1973.

Difahamkan rumah tersebut telah beberapa kali diubah suai, namun Arkib Negara Malaysia mengekalkan hampir 100 peratus reka bentuk kediaman berkenaan melainkan bahagian dalaman yang diubah suai untuk dijadikan galeri pameran muzium.

The post Hayati legasi seni P. Ramlee appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved