HBO Max dan Paramount+ Akan Digabungkan Menjadi Satu Platform Penstriman

WorldTechnology
3 Mar 2026 • 1:53 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Paramount Skydance dan Warner Bros Discovery pagi ini menandatangani perjanjian menggabungkan syarikat secara rasmi. Di bawah persetujuan ini, Paramount membayar $77 bilion untuk membeli saham WBD dengan nilai keseluruhan adalah $110 billion setelah mengambil kira hutang yang ditanggung oleh WBD.

image is not available

 CEO Paramount Skydance CEO David Ellison mengesahkan sekiranya penggabungan syarikat diluluskan oleh pengawal selia Amerika Syarikat, platform penstriman HBO Max dan Paramount+ akan digabungkan menjadi satu. Nama baharu platform yang akan dilancarkan belum diumumkan dan tidak diketahui apakah yang akan terjadi kepada pelanggan HBO Max memandangkan Paramount+ belum dilancarkan ke peringkat global.

Kedua-dua studio dikekalkan dan terus beroperasi sebagai studio bebas. Setiap studio juga memberikan komitmen menerbitkan 15 filem setahun dengan ia kekal di panggung selama 45 hari sebelum ditawarkan menerusi platform PVOD. Kandungan yang dihasilkan masih boleh ditawarkan kepada pihak ketiga dan mereka turut boleh membeli kandungan daripada studio lain.

Paramount kini memegang aset Warner Bros Television, Warner Bros Motion Picture Group, DC Studios, HBO, HBO Max, CNN, TNT Sports, Discovery networks, Discovery+ dan Bleacher Report.

Penggabungan akan menjimatkan kos $6 bilion setahun melalui integrasi teknologi, konsolidasi sistem, hartanah, dan kecekapan operasi. Bagi kakitangan pula, mereka berhadapan dibuang kerja kerana pertindanan tugas. Aset-aset turut mungkin dijual bagi mengurangkan kos memiliki lot studio di Los Angeles.