HDC-KOTRA meterai MoU perkukuh hubungan dua hala

Business & Finance
17 May 2023 • 3:19 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HDC-KOTRA meterai MoU perkukuh hubungan dua hala

diyana

17/05/2023 - 15:19

KUALA LUMPUR 17 Mei - Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan Agensi Penggalakan Perdagangan Pelaburan Korea (KOTRA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan hubungan dua hala dalam industri halal.

Dalam satu kenyataan hari ini, HDC berkata MoU tersebut akan mewujudkan lebih banyak aktiviti perdagangan dan pelaburan serta peluang memperluaskan akses pasaran antara pemain industri halal di kedua-dua negara.

Majlis menandatangani MoU itu dilakukan bersempena lawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KOTRA, Yu Jeoung Yeol ke Malaysia dan HDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hairol Ariffein Sahari.

Menurut HDC, MoU ini merupakan kesinambungan daripada MoU pertama yang ditandatangani pada 2019.

“MoU itu menggariskan komitmen Malaysia untuk bekerjasama dengan negara lain dalam meneroka dan mengembangkan potensi perniagaan bagi memenuhi pasaran halal global yang semakin meningkat, diramalkan bernilai AS$5 trilion menjelang 2030,” kata HDC.

Korea Selatan juga merupakan rakan dagangan halal kesepuluh terbesar Malaysia, dengan eksport halal Malaysia ke negara itu antara 2018 dan 2022 bernilai RM7.24 bilion.

Pada 2022, nilai eksport halal Malaysia ke Korea Selatan berjumlah RM2.13 bilion daripada RM1.23 bilion pada 2021, di mana bahan-bahan halal terus mendominasi jualan sebanyak RM1.19 bilion diikuti eksport makanan dan minuman (RM819 juta) serta kosmetik dan produk penjagaan diri (RM64.35 juta).

“Dari 2020 hingga 2022, HDC telah mempromosi produk berstatus halal Malaysia kepada pembeli Korea Selatan melalui siri padanan perniagaan dalam talian dengan potensi jualan direkodkan pada RM38 juta.

“HDC mengambil bahagian di Seoul Food and Hotel pada 2019, 2021 dan 2022 untuk mempromosi jenama halal Malaysia dan produk halal secara fizikal, memberi peluang kepada pengeksport negara menembusi pasaran Korea Selatan dan negara jiran,” tambahnya.

Di samping itu, HDC telah mencadangkan pemindahan pengetahuan dan inisiatif pengetahuan bagi membangunkan ekosistem halal termasuk perundingan, program latihan dan akses pasaran digital kepada produk dan perkhidmatan halal.

Siri webinar dalam talian untuk bertukar-tukar ilmu juga akan turut memanfaatkan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim di Korea Selatan.

Pada masa ini terdapat dua badan pensijilan halal di Korea Selatan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia melalui JAKIM iaitu Korea Muslim Federation (KMF) dan Korea Halal Authority Corporation (KHA). -DagangNews.com