
KUALA LUMPUR 3 Dis – Halal Development Corporation Berhad (HDC) terus memperkukuh agenda pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal berdaya saing melalui penganjuran Knowledge Sharing Event yang menghimpunkan pemain industri, pakar teknikal serta PKS halal berpotensi tinggi di bawah Program Perkongsian LLC/MNC–SME (HSPP).
Program sehari penuh di Geno Hotel Shah Alam ini menumpukan pada pembinaan rantaian bekalan halal yang kukuh, dengan kerjasama HDC bersama pemain industri utama seperti Sri Nona Food Manufacturing dan F&N Beverages Manufacturing untuk meningkatkan penyertaan PKS tempatan dalam rantaian bekalan korporat dan mempersiapkan mereka menembusi pasaran halal global.
Sorotan utama acara ialah pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara HDC, Sri Nona dan F&N, yang menandakan kerjasama lebih mendalam dalam pembangunan keupayaan, integrasi rantaian bekalan serta usaha merapatkan jurang standard antara PKS dengan syarikat besar tempatan (LLC) dan syarikat multinasional (MNC).
Melalui kerjasama itu, lebih 80 PKS telah menerima manfaat setakat ini, dengan sebahagian daripadanya dipilih untuk menyertai modul diperkasa HSPP 2.0.
Pemangku Pengerusi HDC, Datuk Azhari Shaari berkata HDC komited melahirkan lebih banyak juara halal tempatan melalui pendekatan berfokuskan keupayaan global.
“Melalui HSPP, syarikat menyasarkan untuk membangunkan lebih ramai Juara Halal Homegrown dengan melengkapkan PKS dengan keupayaan bertaraf global, pensijilan antarabangsa dan akses pasaran strategik. Kerjasama dengan LLC dan MNC merupakan pemangkin penting kepada pertumbuhan dan daya saing PKS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut HDC, pertukaran MoA tersebut juga membuka ruang kepada penyertaan PKS dalam ekosistem pengilangan dan agihan berskala besar, sekali gus mempercepatkan proses pematuhan kepada piawaian industri antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada 2020, program HSPP telah menyokong lebih 190 PKS halal, menghasilkan penambahbaikan ketara dari segi keupayaan pengeluaran, penjenamaan yang lebih kukuh, peluang niaga baharu serta peluasan pasaran di dalam dan luar negara.
Di bawah HSPP 2.0, PKS kini menerima fasilitasi berstruktur merangkumi empat bidang utama, iaitu Pensijilan Antarabangsa (GMP/HACCP/ISO 22000), Penjenamaan dan Pemasaran Digital, Pembangunan Produk dan Pembungkusan, serta Latihan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Sepanjang program, peserta turut mengikuti tiga sesi teknikal bertemakan Memperkukuh Daya Saing PKS melalui Kecemerlangan Pembuatan Lean” yang dikendalikan pakar industri bagi meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos pengeluaran dan memenuhi keperluan ketat pembeli antarabangsa.
Menurut HDC, kerjasama yang diperkukuh antara HDC–LLC/MNC ini selari dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) bagi melahirkan lebih banyak juara halal tempatan untuk menyokong aspirasi Malaysia membangunkan ekosistem halal bertaraf dunia yang kompetitif dan mampan.
HDC berkata, pertumbuhan berterusan penyertaan PKS di bawah HSPP membuktikan keberkesanan pendekatan kolaboratif antara agensi pembangunan, syarikat besar dan pemain industri dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global. - DagangNews.com
