HealthMetrics teroka pasaran Indonesia, buka peluang platform rentas sempadan

LocalBusiness & Finance
22 Apr 2025 • 12:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HealthMetrics teroka pasaran Indonesia, buka peluang platform rentas sempadan

image is not available

22/04/2025 - 12:23

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 April — HealtMetrics Group mengembangkan perniagaannya dengan meneroka pasaran Indonesia melalui pengambilalihan Across Asia Assist Indonesia (AAA) yang dijenamakan semula secara rasmi sebagai HealthMetrics Indonesia.


Firma teknologi kesihatan digital dan pentadbir pihak ketiga (TPA) itu berkata, susulan perkembangan tersebut, ia akan membentuk platform bersepadu dalam urusan pentadbiran penjagaan kesihatan awam dan membuka peluang rentas sempadan.


Ini terutama bagi penyedia penjagaan kesihatan Malaysia yang ingin menawarkan perkhidmatan kepada pesakit antarabangsa dengan turut membawa kepakaran Indonesia yang telah lama wujud bersama-sama infrastruktur digital termaju oleh HealthMetrics.


"Berikutan pemerolehan AAA oleh HealthMetrics pada 2022, syarikat itu dijenamakan kepada HealthMetrics Indonesia bagi mencerminkan transformasi kepakaran tempatan dengan prasarana digital generasi akan datang," katanya dalam satu kenyataan.


Perubahan itu jelasnya, bertujuan untuk menyampaikan pentadbiran penjagaan kesihatan yang lebih pantas, pintar dan lancar kepada penanggung insurans, korporat, penyedia penjagaan kesihatan serta ahlinya di seluruh negara dan serantau.


Selama lebih sedekad katanya, AAA menyokong jutaan rakyat Indonesia dengan peranan sebagai TPA dan penyedia bantuan perubatan antarabangsa untuk pelanggan insurans seperti Allianz, AXA, Tokio Marine, di samping syarikat-syarikat tempatan.


Selain pelancaran HealthMetrics Indonesia, ia juga melancarkan tiga rumusan digital utama mereka iaitu Platform Awan HealthMetrics, Aplikasi Ahli Global dan Hab Bantuan Antarabangsa sebagai era baharu akses penjagaan kesihatan.


Ia berteraskan pesakit dan dikuasakan kecerdasan buatan (AI) yang berskala dan pintar, memperkasakan penanggung insurans, korporat, penyedia penjagaan kesihatan serta ahli-ahli dengan kecekapan dan ketelusan lebih baik merentasi sempadan.


Ketua Pegawai Eksekutif HealthMetrics Indonesia, Dr Madan Mohan Vasandani berkata, mereka percaya bahawa pendekatan yang mengutamakan digital adalah sejajar dengan visi rantau Asia Tenggara memiliki ekosistem penjagaan kesihatan terhubung.


"Platform ini dibina atas asas digital yang sudah berjaya dibangunkan rakan sejawatan kami di HealthhMatrics Malaysia dalam menyampaikan inovasi berskala merentas sempadan dan turut membolehkan pentadbiran lebih cekap,” katanya dalam kenyataan.


Dengan ada lebih 7,000 penyedia penjagaan kesihatan di Malaysia, ia menjadi sebahagian daripada rangkaian pengembangan HealthMetrics ke Indonesia dan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi Utama penjagaan rentas sempadan.


Ketiga-tiga rumusan itu diperakui ISO27001 yang baharu dilancarkan membolehkan ahli-ahli merentas Asia Tenggara untuk mencari penyedia panel di Malaysia, meminta surat jaminan, menguruskan tuntutan dan sokongan selepas penjagaan.


Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif HealthMetrics Group, Alvin Yuan, berkata, ia merupakan detik membanggakan sebagai sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia dapat berkembang ke Indonesia dan membuka banyak peluang menarik.


Pihaknya bersedia memudahan penyedia penjagaan kesihatan Malaysia menawarkan perkhidmatan kepada pesakit antarabangsa melalui ekosistem digital yang terhubung dengan menyelaraskan segala teknologi, perkongsian dan matlamat.


"Kami mencipta masa hadapan penjagaan kesihatan tanpa sempadan yang terhubung bersama dan saya teruja dengan penyatuan misi bersama dengan pasukan Indonesia kami, yang sudah ada rekod prestasi hebat sebagai TPA terbesar di negara itu,” katanya. - DagangNews.com

standard