​'Hegemoni AS, Israel mesti dihentikan segera'

WorldPolitics
1 Mar 2026 • 11:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Raja Bahrin

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Malaysia digesa mengambil pendirian lebih tegas dalam membantah tindakan pencerobohan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran yang disifatkan sebagai satu bentuk penindasan terbuka.

​Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, serangan terbaharu itu mengesahkan tiga perkara utama, antaranya taktik tipu daya AS yang kini tidak lagi boleh dipercayai.

​Menurut beliau, ini merupakan kali kedua dalam tempoh setahun AS menyerang Iran di saat rundingan sedang dijalankan, selain tindakan kuasa besar itu yang kerap mengubah sasaran rundingan.

​"AS terus mengubah fokus daripada isu tenaga nuklear kepada peluru berpandu balistik, dan akhirnya kepada agenda pertukaran rejim di Iran.

​"Serangan hari ini membuktikan AS sedang melaksanakan niat jahat Israel untuk menghancurkan Iran, sama seperti yang telah dilakukan terhadap Iraq, Libya dan Syria sebelum ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

​Mengulas lanjut mengenai situasi semasa, Raja Bahrin menyifatkan dunia kini seolah-olah mengamalkan 'undang-undang rimba' apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diketepikan dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak lagi dihormati.

​"Dalam sejarah moden, tidak pernah ada negara yang begitu kejam dan mengabaikan undang-undang antarabangsa sepenuhnya seperti yang berlaku di Gaza, Tebing Barat, Venezuela dan Cuba.

​"Dunia seolah-olah tidak berdaya. Terlalu banyak sikap memandang sebelah mata terhadap pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang membawa kita ke tahap sekarang," ujarnya.

​Tambah beliau, pencerobohan itu turut mencatatkan tragedi menyayat hati apabila sebuah sekolah di Minab, selatan Iran dibom pada hari pertama serangan.

​Laporan Palang Merah Antarabangsa mengesahkan lebih 80 pelajar perempuan terkorban dalam insiden itu, yang menurutnya mempunyai persamaan dengan corak serangan Israel di Gaza.

​"Dengan berita kematian Ayatollah Khamenei serta penculikan Presiden Venezuela oleh AS baru-baru ini, ia memberi isyarat bahawa semua pemimpin dunia seolah-olah perlu mendapat 'restu' AS untuk mengelakkan pertukaran rejim," katanya lagi.

​Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk memperkukuh gerakan Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) serta meluaskan boikot terhadap semua produk AS selain daripada jenama sedia ada.

​"Jika pendirian tegas tidak diambil, ketidaktentuan dunia akan terus meruncing sehingga membawa kepada keadaan anarki yang tidak terkawal," tegasnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved