
Hegseth Minta Ketua Turus Tentera Darat AS Letak Jawatan
WASHINGTON -- Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth telah meminta Jeneral Randy George untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Turus Tentera Darat Amerika Syarikat (AS), menurut seorang pegawai pada hari Khamis, lapor AFP.
Pegawai itu, yang enggan dikenali mengesahkan laporan penyiar AS, CBS, yang menyatakan George diminta bersara serta-merta.
Bagaimanapun, permintaan itu dibuat tidak diketahui buat masa ini dan CBS memetik sumber yang mengatakan bahawa Hegseth mahukan seseorang yang akan melaksanakan visi beliau dan Presiden AS, Donald Trump untuk Tentera Darat.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, kemudiannya memuat naik satu kenyataan di platform X yang menyatakan bahawa George "akan bersara daripada jawatannya... berkuat kuasa serta-merta," tanpa memberikan alasan yang khusus.
George merupakan pegawai tentera kanan terbaharu yang disingkirkan semasa penggal kedua Donald Trump, dan penyingkiran beliau sebagai pegawai tertinggi Tentera Darat berlaku ketika Amerika Syarikat sedang terlibat dalam perang dengan Iran yang menurut Presiden mungkin berlarutan selama beberapa minggu lagi.
Sepanjang hampir empat dekad kerjaya ketenteraan, George telah dikerahkan ke Iraq dan Afghanistan beberapa kali dan pernah memegang jawatan termasuk Naib Ketua Turus Tentera Darat serta pembantu kanan tentera kepada ketua Pentagon, Lloyd Austin, semasa pentadbiran Joe Biden sebagai presiden AS.
Trump sebelum ini telah menyelia siri penyingkiran beberapa pegawai atasan tentera, termasuk Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Charles "CQ" Brown, yang dipecatnya tanpa penjelasan pada Februari 2025.
Pegawai kanan lain yang turut diberhentikan termasuk ketua Tentera Laut dan Pengawal Pantai, jeneral yang mengetuai Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Naib Ketua Turus Tentera Udara, seorang laksamana Tentera Laut yang ditugaskan ke NATO, serta tiga peguam kanan tentera.
Ketua Turus Tentera Udara juga mengumumkan persaraannya tanpa penjelasan walaupun baru dua tahun berkhidmat daripada tempoh empat tahun, manakala ketua Komando Selatan AS bersara setahun selepas memegang jawatan.
Baca juga:Hegseth menegaskan bahawa Presiden hanya sekadar memilih pemimpin yang beliau mahukan, namun penggubal undang-undang daripada parti Demokrat telah menyuarakan kebimbangan mengenai potensi pempolitikan tentera AS yang secara tradisinya bersifat neutral (berkecuali).
Tahun lalu, ketua Pentagon itu turut mengarahkan pengurangan sekurang-kurangnya 20 peratus jumlah jeneral empat bintang dan laksamana dalam perkhidmatan aktif tentera AS, serta pengurangan 10 peratus bagi keseluruhan jumlah jeneral dan pegawai berpangkat tinggi.
