HeiTech, ACO Tech tingkatkan keupayaan integrasi sistem tempat letak kereta
zulfadli
15/05/2023 - 11:06
KUALA LUMPUR 15 Mei - HeiTech Padu Berhad dan rakan usaha sama, ACO Tech Sdn Bhd bekerjasama untuk mengintegrasikan aplikasi Penang Smart Parking ke dalam Unit Utama Infotainment (IHU) Proton, yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus meningkatkan keupayaan integrasi sistem tempat letak kereta.
Presiden dan Timbalan Pengerusi Eksekutif HeiTech, Datuk Seri Mohd Hilmey Mohd Taib berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting kerana ia menunjukkan komitmen kedua-dua belah pihak terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam teknologi mempertingkatkan mobiliti.
Katanya, penyelesaian tempat letak kereta pintar adalah platform pengurusan tempat letak kereta termaju yang menggunakan teknologi terkini seperti sensor, aplikasi mudah alih dan pengkomputeran awan untuk memberikan maklumat masa nyata tentang ketersediaan tempat letak kereta, lokasi serta harga.
"Oleh itu, ini membuktikan komitmen kami dalam meningkatkan kualiti hidup pemandu di Malaysia melalui penyelesaian termaju untuk memudahkan urusan harian mereka.
"Kami yakin pengintegrasian aplikasi Penang Smart Parking ke dalam kereta keluaran Proton akan menjadi pengubah keadaan bagi industri automotif di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, HeiTech dan ACO Tech memeterai memorandum kerjasama (MoC) untuk menjayakan usaha mengintegrasi sistem tempat letak kereta bagi membolehkan pemilik kereta Proton mencari tempat letak kereta tersedia dengan mudah dan membuat pembayaran melalui IHU kereta mereka.
MoC itu ditandatangani oleh Naib Presiden Eksekutif HeiTech, Abdul Halim Md Lassim dan Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech, Li Pu yang turut disaksikan Mohd Hilmey, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Nur 'Aishah Md Norodin.

Dengan pengintegrasian itu, pemandu tidak lagi akan membuang masa mencari tempat letak kereta kerana mereka boleh menggunakan IHU mereka untuk memandu arah ke tempat letak kereta yang terdekat dan membuat pembayaran secara digital tanpa perlu mencapai peranti mudah alih mereka sebelum turun dari kenderaan.
Dibangunkan oleh HeiTech, penyelesaian tempat letak kereta pintarnya kini merupakan pengintegrasian sistem tempat letak kereta yang pertama seumpamanya di Malaysia dan telah berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.
Menurut Mohd Hilmey, penyelesaian tempat letak kereta pintar adalah sumbangan pihaknya kepada Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (MSCF) yang sejajar dengan visinya untuk membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) membangunkan bandar masing-masing sebagai bandar pintar.
"Penyelesaian tempat letak kereta pintar, gerbang pembayaran, aplikasi pintar untuk pihak berkuasa tempatan, aplikasi pintar untuk koperasi, penyelesaian pengurusan sekolah dan portal pengajaran adalah beberapa contoh tawaran kami yang sudah tersedia di pasaran.
"Kami juga telah beralih ke sektor keselamatan siber dengan menawarkan penyelesaian berasaskan perusahaan yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan keselamatan bagi mana-mana organisasi," katanya. - DagangNews.com
