HeiTech lancar platform sistem pengurusan pembelajaran digital GuruPRO di Indonesia

27 Jul 2023 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

HeiTech lancar platform sistem pengurusan pembelajaran digital GuruPRO di Indonesia

diyana

27/07/2023 - 12:36

KUALA LUMPUR 27 Julai - HeiTech Padu Berhad (HeiTech), melalui PT Desa Tech Nusantara (DesaTech) telah melancarkan platform sistem pengurusan pembelajaran digital, GuruPRO di Indonesia.

GuruPRO merupakan inisiatif terbaharu HeiTech di Indonesia yang bertumpukan sektor pendidikan berikutan pelancaran sistem pengurusan dan pentadbiran sekolah, ProSchool awal tahun ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, HeiTech berkata platform tersebut disasarkan untuk menambah baik sektor pendidikan dengan memberi tumpuan kepada hubungan pengajaran dan pembelajaran antara guru dan pelajar.

“GuruPRO bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaedah pengajaran tradisional dan kemajuan teknologi moden, memperkasakan pendidik dalam menyampaikan pengalaman pembelajaran yang lebih cekap dan berkesan untuk pelajar,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan HeiTech, Salmi Nadia Mohd Hilmey.

Dengan memanfaatkan kepakaran kumpulan itu dalam teknologi, beliau yang juga Pengarah DesaTech berharap dapat memberi sumbangan bermakna dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat di rantau Nusantara ini termasuk dalam bidang pendidikan.

“Kami percaya kuasa teknologi merapatkan jurang pendidikan dan memastikan akses yang sama rata kepada pendidikan berkualiti untuk semua peringkat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Kami ingin menyerlahkan potensi sebenar mereka dan bersama-sama membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” ujar beliau.

Ciri-ciri lain dalam aplikasi GuruPRO merangkumi Sistem Pengurusan Pembelajaran, Buku Digital, LapakGuru dan Bootcamp, yang boleh menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran, serta berfungsi sebagai nilai tambah melalui perkongsian kursus atau bahan yang bermaklumat dan interaktif.

“Terdapat juga slot video di mana video pendek boleh dimuat naik untuk manfaat guru dan pelajar,” tambah Salma.

GuruPRO adalah hasil kerjasama antara Desa Tech dengan organisasi Profesional Guru Merdeka yang bercita-cita meningkatkan kualiti dan kehidupan guru di Indonesia. - DagangNews.com