Helah Air Force One Trump dipersoal, wartawan berang dijadikan ‘umpan’

WorldPolitics
12 Aug 2026 • 6:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Helah Air Force One Trump dipersoal, wartawan berang dijadikan ‘umpan’

WASHINGTON: Parti Demokrat menggesa taklimat Kongres diadakan berhubung operasi mengejutkan yang menyaksikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara rahsia dipindahkan ke pesawat lain, berbeza daripada yang dipercayai dinaikinya bersama media.

Pengkritik kini mempersoalkan mengapa wartawan dan orang awam sengaja dikelirukan mengenai perjalanan presiden itu.

Apabila risikan AS dilaporkan menemui ancaman yang boleh dipercayai bahawa Iran merancang untuk membunuh Trump bulan lalu, beliau meninggalkan pesawat Air Force One menggunakan trak katering, menurut laporan Washington Post yang kemudian turut disiarkan New York Times.

Ketika Trump dilaporkan dibawa keluar secara senyap melalui pintu sisi pesawat, lebih 100 pembantu, pegawai dan wartawan terus berada di dalam pesawat yang terbang menuju Britain tanpa dimaklumkan mengenai ancaman terhadap keselamatan mereka.

“Berdasarkan apa yang kita lihat, nampaknya rancangan itu adalah untuk mengurangkan bahaya terhadap Trump dengan menjadikan kira-kira 100 orang sebagai sasaran gantian untuk dibunuh oleh Iran,” Pengarah Eksekutif Steady State dan bekas pegawai risikan CIA, Steven Cash.

Trump pada Selasa mengesahkan beliau secara rahsia bertukar pesawat, namun berkata, pesawat yang dinaikinya sebenarnya lebih terdedah kepada risiko berbanding Air Force One.

“Saya rasa sebenarnya pesawat yang saya naiki lebih berisiko. Saya fikir ia lebih berisiko kerana saya rasa itu pesawat yang lebih mungkin menjadi sasaran mereka.

“Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada agensi perkhidmatan rahsia. Saya hanya mengikut apa yang mereka mahu saya lakukan. Jadi saya mengikut arahan mereka dan tentera,” tambahnya.

Senator Demokrat Connecticut, Richard Blumenthal menyifatkan operasi itu sebagai belum pernah berlaku dan ‘tidak masuk akal’ serta ‘amat menakutkan’ ketika ditemu bual CNN.

“Mesti ada taklimat Kongres kerana perkara ini bukan hanya melibatkan keselamatan presiden. Saya mahu tahu apakah langkah berjaga-jaga yang diambil untuk memastikan semua penumpang dalam Air Force One itu, yang dianggap terlalu berbahaya untuk dinaiki presiden turut dilindungi?” katanya.

Rumah Putih sebelum ini secara terbuka menyatakan Trump akan menaiki Air Force One ke Britain, walaupun pesawat itu merupakan versi lama dan bukannya pesawat baharu yang dihadiahkan Qatar.

Dalam realitinya, Trump menaiki pesawat presiden itu di hadapan kamera televisyen sebelum dibawa keluar secara rahsia beberapa minit kemudian dan dipindahkan ke pesawat Tentera Udara AS C-32A.

Operasi itu begitu terperinci sehingga wartawan yang mengikuti perjalanan presiden serta sebahagian kakitangan Rumah Putih menyangka Trump masih berada di dalam Air Force One. Wartawan turut diarahkan supaya menutup langsir tingkap sepanjang penerbangan.

Pesawat C-32A yang membawa Trump terbang ke RAF Mildenhall di Britain dan tiba sekitar pukul 10.20 malam (waktu tempatan). Air Force One versi lama yang membawa kumpulan wartawan pula tiba beberapa minit kemudian.

Jurugambar kemudiannya merakam Trump turun dari pesawat presiden itu, dipercayai selepas beliau disatukan semula dengan Air Force One secara rahsia.

Trump kemudian menyambut anggota tentera di pangkalan berkenaan sebelum menaiki Boeing 747 yang baru dibaik pulih dan dihadiahkan Qatar untuk meneruskan penerbangan ke Washington.

Penyampai CNN, Jake Tapper berkata, nyawa presiden sememangnya amat penting dan pentadbiran terdahulu juga pernah menggunakan helah sama untuk melindungi mereka.

“Namun, tiada pegawai yang pernah saya hubungi sebelum ini mendengar mengenai penggunaan Air Force One yang dipenuhi kakitangan Rumah Putih dan wartawan sebagai umpan ketika terdapat ancaman yang akan berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Serantau Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) bagi benua Amerika, Jose Zamora berkata, pentadbiran mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wartawan tidak terdedah kepada bahaya yang tidak diperlukan.

“Wartawan sepatutnya dimaklumkan mengenai ancaman keselamatan yang boleh dipercayai supaya mereka boleh membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai keselamatan diri mereka.

“Ketelusan sepatutnya menjadi kebiasaan bagi mana-mana pentadbiran, khususnya apabila keselamatan dipertaruhkan,” katanya.

The post Helah Air Force One Trump dipersoal, wartawan berang dijadikan ‘umpan’ appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved