
ALOR SETAR - Dalam keadaan baru berbuka puasa, menunaikan solat berjemaah dan membaca Yassin di malam Jumaat, seorang wanita menghembuskan nafas terakhirnya di ruang solat utama Masjid Negeri Kedah, Masjid Zahir, malam tadi.
Menurut Pegawai Media Masjid Negeri, Muhd Azam Abdullah, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8.25 malam ketika para jemaah sedang membaca doa, usai membaca surah Yassin.
Katanya, jemaah wanita tersebut, Rosnah Ramli, 60, tiba-tiba rebah dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan yang datang membuat pemeriksaan terhadapnya.
"Wanita itu hadir ke masjid bersama suaminya dan mereka terlebih dulu berbuka puasa sebelum menunaikan solat jemaah serta membaca surah Yassin bersama jemaah lain di masjid ini semalam.
"Menurut jemaah di sebelahnya, arwah ada menunjukkan tanda tidak selesa sebelum tiba-tiba rebah di ruang solat utama wanita.
"Selepas itu, kami terus menghubungi talian kecemasan dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir mengesahkan dia sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Getaran.
Tambahnya, Rosnah bersama suami sememangnya sering ke masjid tersebut untuk menyertai pelbagai aktiviti agama selain menunaikan solat jemaah.
"Suaminya juga kelihatan tenang menerima kejadian itu dan segala urusan arwah tampak dipermudahkan. Sementara segala urusan selesai, anak-anak pasangan itu turut hadir ke masjid untuk melihat keadaan ibu mereka.
"Malam tadi kami menjadi saksi kepada sebuah pengakhiran hidup yang sangat baik dan mulia. Semoga ini menjadi pengajaran, iktibar dan pedoman buat kita semua," katanya.
Difahamkan jenazah arwah akan dikebumikan di Kampung Telaga Mas, Pokok Sena, hari ini. - Getaran, 17 Mei 2024.

