Hengyuan raih sokongan pemegang saham untuk terbitan hak RM155 juta, meterai kerjasama strategik dengan Trafigura

19/09/2025 - 10:20
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 19 Sept – Hengyuan Refining Company Berhad menerima kelulusan daripada pemegang sahamnya terhadap cadangan terbitan hak boleh jual sehingga 300 juta saham biasa baharu bersama 150 juta waran boleh tanggal percuma pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan semalam.
Sebanyak 99.23% undian menyokong pelaksanaan tersebut, membolehkan syarikat penapisan minyak itu memiliki sumber tambahan untuk menjamin bekalan minyak mentah, meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh kedudukan kewangan syarikat.
Terbitan hak dilaksanakan dengan satu saham hak untuk setiap satu saham sedia ada dan satu waran untuk setiap dua saham hak yang dilanggan dengan harga terbitan dan tarikh kelayakan akan ditentukan kemudian.
Pemegang saham utama, Malaysia Hengyuan International Limited (MHIL) yang memiliki 51.02% saham memberi jaminan untuk melanggan sepenuhnya haknya.
Komitmen itu menjamin minimum pengumpulan dana RM155 juta.
Sebahagian besar dana akan digunakan untuk pembelian minyak mentah tambahan, meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos per tong dan memperkukuh daya saing syarikat.

Dalam pada itu, Hengyuan mengumumkan kerjasama strategik dengan Trafigura Pte Ltd, salah satu pedagang komoditi fizikal terkemuka di dunia.
Perjanjian ini menyediakan terma pembayaran fleksibel dan jadual penghantaran yang selaras dengan kitaran pengeluaran kilang penapisan, membolehkan syarikat mengoptimumkan aliran tunai dan pengurusan inventori.
Kerjasama ini juga memberi akses keutamaan kepada portfolio minyak mentah global Trafigura, mengurangkan risiko gangguan bekalan dan turun naik harga.
Dengan memanfaatkan kepakaran pengurusan risiko dan rangkaian logistik Trafigura, Hengyuan dapat memperoleh gred minyak mentah yang memaksimumkan margin penapisan serta meningkatkan kecekapan operasi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan, Yeo Bee Hwan berkata, perjanjian bekalan dan kredit strategik ini bukan sahaja mengenai terma kredit yang menguntungkan, tetapi tentang kebolehpercayaan bekalan, fleksibiliti kewangan dan kecekapan operasi.
“Trafigura menawarkan terma pembayaran disesuaikan dan akses terjamin kepada portfolio minyak mentah yang luas, membolehkan Hengyuan bertindak pantas terhadap perubahan pasaran dan memperoleh bahan mentah optimum pada kos kompetitif.
“Ini pemangkin utama strategi pertumbuhan kami dalam pasaran tenaga yang tidak menentu,” katanya.
Hengyuan merupakan pembekal utama produk penapisan Shell di Semenanjung Malaysia dengan pelanggan lain termasuk PETRONAS, Petron, dan Five.
Sekitar 90% produk dijual secara domestik, manakala selebihnya dieksport ke Asia Tenggara. - DagangNews.com
standard
