Hening Rindu Kesinambungan Kisah Lelaki Itu Dalam Lagu

Music
24 May 2024 • 5:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Marsha Milan

Fenomena yang diraih oleh drama ‘Lelaki Itu’ berjaya melonjakkan populariti lagu yang menjadi runut bunyinya, ‘Dulu Kini dan Akhirnya’, nyanyian Marsha Milan. Kini Marsha tampil pula dengan lagu terbaharu yang menjadi runut bunyi bagi siri terbaharu, ‘Aku Bukan Ustazah’ yang kini sedang ditayangkan di TV3, di slot Akasia setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7.00 malam.

Lagu berjudul Hening Rindu dan bergenre balada itu adalah hasil ciptaan komposer terkenal Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, dan liriknya ditulis oleh Wan Salleh sendiri.  

Ini merupakan single kesembilan Marsha Milan bersama Alternate Records & Talents, dan sebagai usaha bagi mempromosikan lagu ini, Alternate Records & Talents juga telah menghasilkan muzik video Hening Rindu, di mana majlis pelancarannya telah diadakan baru-baru ini di Warner Music (Malaysia).

image is not available
Marsha pada sidang media di Warner Music baru-baru ini.

Pada sidang media itu, Marsha memberitahu dia sangat berbesar hati apabila terpilih untuk menyanyikan lagu yang menjadi runut bunyi untuk drama ‘Aku Bukan Ustazah’ ini. 

"Saya sangat berbesar hati apabila mendapat peluang sebegini sekali lagi. Menyampaikan lagu tema drama memerlukan penghayatan emosi yang mendalam. Bukan sekadar menyampaikan lirik dan melodi, tetapi juga perlu merasai dan memahami emosi yang  cuba disampaikan. 

"Melodinya syahdu, sarat dengan maksud tersirat. Saya berharap ia dapat menyentuh hati penonton seperti mana ia menyentuh hati saya ketika merakamkannya," ujar Marsha.

Tambah Marsha, sebaik sahaja dia mendengar melodi lagu ini, hatinya terpesona lantas bersetuju untuk bekerjasama.

“Mendengar melodi Hening Rindu, ia sangat menangkap hati, saya terus menyukainya dan bersetuju untuk berkolaborasi. Lagu dan video ini sangat istimewa bagi saya, ia sesuatu yang saya rasa kita semua mungkin pernah rasa.

“Ia membawa kita kembali ke suasana balada tahun 90-an, tetapi dengan sentuhan yang moden. Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek kreatif yang besar ini. Sebagai seorang penyanyi, saya rasa ianya sentiasa menjadi tanggungjawab untuk saya  memberikan dinamik rasa dan warna kepada mana-mana kanvas yang diberikan,” kata Marsha.

image is not available
Bagi Marsha, lagu Hening Rindu sangat istimewa.

Menurut komposer, Ikhwan Fatanna pula, ini merupakan kolaborasi pertamanya dengan Marsha, dan kerana itu dia cukup teruja dengan hasilnya.

“Vokal Marsha yang sangat luar biasa dapat menyampaikan mesej yang meyakinkan dalam lagu Hening Rindu. Ini merupakan kolaborasi saya yang pertama dengan Marsha dan Marsha adalah sangat-sangat hebat! Saya sangat teruja untuk melihat kejayaan Marsha untuk Hening Rindu,” ulas Ikhwan.

Muzik video Hening Rindu adalah kesinambungan kepada muzik video Dulu, Kini dan Akhirnya. Arahan Izuan Mokhtar, ia membongkarkan tentang Marsha yang diabaikan sebelum ini oleh suaminya Mirza, kerana Mirza sudah mempunyai perempuan lain iaitu Qaidah. 

Selepas pergaduhan, Marsha terlibat kemalangan sehingga meninggal dunia termasuk bayi di dalam kandungannya. Penyesalan Mirza di atas segala perbuatannya terhadap isterinya digarap dengan baik dalam setiap babak. 

Muzik video ini juga menampilkan lokasi-lokasi yang indah dan sinematografi yang mempesonakan di sekitar Eco Majestic, Batai, Sepang, UPM Serdang, Subang Bestari dan Tadom Hill, menjadikan ia sebuah karya seni yang lengkap. 

Penggambaran yang mengambil masa tiga hari ini turut menampilkan penampilan khas Dato’ Adi Putra sebagai Mirza.

Sebelum ini, single Marsha yang berjudul ‘Dulu Kini Dan Akhirnya’ yang merupakan lagu runut bunyi kepada drama ‘Lelaki Itu’ telah mencatat hampir 200 ribu tontonan di YouTube, sekali gus menjadikan lagu tersebut trending di YouTube Music di tangga ke-25 dan juga mendapat 70 juta tontonan di aplikasi Tik Tok sehingga kini. 

Jadi, saksikan sendiri bagaimana kisah ini bersambung di muzik video Hening yang boleh di YouTube Alternate Records & Talents, atau tonton sahaja di bawah ini. - Getaran, 24 Mei 2024

Foto : Alternate Records & Talents