
KUALA LUMPUR - Tokoh-tokoh perniagaan tampil dengan pendirian tegas menyeru semua pihak menghentikan politik provokasi perkauman yang cuba dinyalakan oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab untuk membawa agenda kepentingan peribadi dan politik yang sempit.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon menegaskan bahawa keharmonian antara kaum bukan sekadar nilai sosial, tetapi merupakan tunjang kepada kestabilan ekonomi negara.

Menurut beliau, dunia perniagaan amat bergantung kepada kestabilan masyarakat dan keyakinan pelabur yang hanya boleh wujud dalam suasana negara yang aman serta rakyat yang hidup saling menghormati.
“Malaysia membina kekuatannya daripada kepelbagaian kaum yang hidup secara harmoni. Apabila ada pihak yang cuba bermain dengan api perkauman dan agama dan menjadi batu ronson, mereka bukan sahaja merosakkan hubungan antara rakyat, malah mempertaruhkan masa depan ekonomi negara.
“Pelabur melihat kestabilan sosial sebagai asas keyakinan. Jika negara dilihat tidak stabil akibat permainan sentimen kaum dan agama yang akan terjejas bukan sahaja masyarakat tetapi peluang ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru agar rakyat tidak terpedaya dengan agenda kumpulan tertentu dan mengambil pengajaran daripada nilai kesederhanaan, kesabaran dan saling menghormati yang ditekankan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.
“Pihak kerajaan perlu menangani isu berkaitan 3R dengan bijaksana demi mengelakkan isu ini berpanjangan.”
“Layanan sama rata perlu diberikan kepada semua pihak yang terlibat dengan isu 3R dengan menjunjung perlembagaan negara dan lunas undang-undang yang telah ditetapkan.”
Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Abdul Hamid PV Abdu menegaskan bahawa komuniti tersebut tidak akan terpedaya dengan percubaan segelintir individu yang cuba memecah-belahkan masyarakat demi kepentingan politik.

Menurut beliau, hanya segelintir individu berkepentingan yang terus cuba menimbulkan kemarahan dalam komuniti India dengan tujuan memecahkan masyarakat dan memanipulasi keadaan untuk kepentingan politik tertentu.
“Segelintir individu yang mempunyai kepentingan sendiri masih cuba memecahkan komuniti India dengan menimbulkan kemarahan dan emosi dalam masyarakat. Kita tahu dengan jelas siapa yang cuba memprovokasi masyarakat, cuba memecahkan komuniti kepada dua dan kemudian bekerjasama dengan pihak sebelah sana sambil terus memainkan api perkauman,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa majoriti masyarakat India mahukan kestabilan negara, peluang ekonomi yang lebih baik serta hubungan harmoni antara semua kaum di Malaysia.
"Keadaan ekonomi negara kini kuat dan kukuh, malah prestasi kewangan negara kita terbukti paling kukuh dalam rantau Asia Tenggara dan antara paling stabil dalam Asia. Ini menunjukkan hala tuju negara dalam landasan yang betul dan tepat, tetapi ada individu iri hati, tidak senang melihat kejayaan kerajaan pada hari ini" katanya kepada pemberita semasa ditemu bual.
Kedua-dua tokoh tersebut turut menyindir sikap segelintir ejen provokasi dan pihak politik tertentu yang dilihat ketandusan idea sehingga terpaksa memainkan sentimen kaum untuk meraih sokongan.
“Mereka kononnya mahu menjadi pembela kaum, tetapi hakikatnya hanya menjadi pencetus provokasi. Apabila tiada idea untuk membantu rakyat, mereka memilih jalan mudah dengan meniup sentimen perkauman demi kepentingan politik sempit,” tegas mereka.
Beliau turut menyeru semua pemimpin politik supaya lebih bertanggungjawab dan berhenti menggunakan isu perkauman sebagai alat politik.
“Malaysia dibina atas asas perpaduan, saling menghormati dan kestabilan.”
Seruan ini dibuat susulan tindakan pihak berkuasa menahan empat individu yang bertindak sebagai ejen provokasi sehingga mencetuskan ketegangan kaum. Kesemua mereka kini telah didakwa di mahkamah dan proses undang-undang sedang berjalan mengikut peruntukan yang ditetapkan. - 17 Mac, 2026
The post Henti jadi ‘batu ronson’, tangani isu sensitif dengan bijaksana bagi menjamin kestabilan ekonomi negara appeared first on Scoop.
