
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyelar pemimpin Pahlawan, terutamanya Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerana menjaja cerita politik palsu untuk menjejaskan Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mendakwa Shafie hanya pandai menyebarkan cerita palsu dan fitnah tanpa menilai apa yang dilakukan GRS-PH Plus selama ini.
Beliau berkata tuduhan Shafie bahawa kerajaan GRS telah gagal adalah tidak berasas. Sebaliknya, Hajiji berkata, kerajaan pimpinan Shafie selama dua setengah tahun tidak mampu membawa perubahan ketara kepada rakyat.
“Kami (GRS) telah melakukan banyak perubahan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Mini Gagasan Rakyat, di sini, Sabtu.
SPONSORED CONTENT Sabah revenue hits RM6.97 billion: Hajiji says GRS State Government may see full term Kota Kinabalu: The Sabah Government continued its momentum in managing the economy in line with the commitment and spirit of the Sabah Maju Jaya (SMJ) when it posted record high state revenue of RM6.973 billion last year. Read more “Saya ingin menyatakan bahawa kita berjaya sebagai kerajaan kerana kita telah menjalankan banyak program untuk rakyat dan pembangunan mereka.
“Yang gagal ialah Warisan, Shafie Apdal, tetapi dia kata kerajaan GRS gagal.
“Kita mahu tanya Shafie apa yang Warisan buat semasa mereka memerintah Sabah selama dua setengah tahun sebelum ini.
“Tetapi, dia (Shafie) bercakap sana sini, mengatakan kerajaan ini gagal… gagal apa? Yang gagal ialah Shafie dan Warisan.
“Saya tidak nampak apa yang dia lakukan selama dua setengah tahun di Sabah.
“Itulah sebabnya rakyat menolak Warisan dan Shafie, dan kita tidak boleh bercakap bohong atau mengarut.”
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, berbohong, menjaja cerita palsu dan memfitnah adalah tabiat pemimpin Warisan, khususnya Shafie.
“Saya berkata ini kerana saya dapat melihatnya. Jika mereka (Warisan) tidak gagal, mereka akan terus menjadi kerajaan, tetapi mereka tidak.
“Beliau menjadi Ketua Menteri, dan kerajaannya bukan pun dengan mandat rakyat.
“Beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri dan tidak mendapat mandat rakyat, jadi apa yang diperkatakan oleh Shafie selama ini semuanya pembohongan.
“Kita mesti bercakap benar kepada rakyat. Saya percaya rakyat Sabah pandai menilai, dan kita tidak boleh membenarkan pemimpin seperti ini memerintah Sabah lagi.
“Dia (Shafie) kata kalau dia membentuk kerajaan semula, dia mahu buat ini dan itu...ubah perlembagaan.
“Seolah-olah dia seorang sahaja yang pandai, manakala yang lain tidak.
“Dia hanya pandai merendahkan orang lain dan bercakap di mana-mana, termasuk pada sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Hajiji mengakui beliau tidak pandai bercakap seperti Shafie tetapi menegaskan beliau ikhlas dalam perjuangan untuk rakyat dan Negeri ini.
“Saya lihat di media sosial beliau menuduh kerajaan GRS gagal, tetapi saya yakin rakyat kita tahu keadaan dan mereka pandai menilai,” katanya.
Beliau turut bertanyakan kepada Shafie jumlah pelabur yang datang pada zaman kerajaan Warisan.
“Berbanding GRS, terdapat kemasukan pelaburan ke negeri ini dalam tempoh dua tahun...Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (Sogip) telah berjaya dipenuhkan, manakala Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir penuh.”
Jelasnya, pencapaian itu adalah berikutan keyakinan pelabur terhadap kerajaan sekarang.
Atas sebab itu, Kerajaan Negeri bercadang membuka taman perindustrian minyak dan gas baharu di Kimanis dan sebuah lagi taman perindustrian baharu antara Kota Belud dan Kota Marudu atau Kudat.
“Semua ini untuk rakyat, kita bawa pelabur wujudkan peluang kerja dan saya fokus untuk rakyat.
“Beribu kerja kita dapat wujudkan menerusi kemasukan pelabur. Ini kita buat, bukan jaja cerita politik,” katanya.
Hajiji mengakui, banyak masalah seperti isu air perlu diatasi, namun menegaskan isu yang diwarisi daripada kerajaan lalu itu akan dapat diselesaikan menerusi kesungguhan Kerajaan Negeri pimpinannya.
Turut hadir Naib Presiden Gagasan Rakyat Datuk Mohd Arifin Mohd Arif dan Datuk Masiung Banah, Setiausaha Agung Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Wanita Datuk Redonah Bahanda, Ketua Pemuda Datuk Fairuz Renddan dan Ketua Beliawanis Emmie M Idang.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
