Henti kerjasama Pas dan Bersatu untuk tentu hala tuju, bukan putus hubungan - Tuan Ibrahim

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 4:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Henti kerjasama Pas dan Bersatu untuk tentu hala tuju, bukan putus hubungan - Tuan Ibrahim
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM - Keputusan Pas menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan bermaksud memutuskan hubungan dan silaturahim tetapi memberi ruang kepada kedua-dua parti menentukan hala tuju masing-masing tanpa terikat antara satu sama lain.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lagipun pengalaman kerjasama Pas dengan Bersatu sebelum ini memperlihatkan wujudnya pelbagai kesukaran dan kekangan.

Menurut beliau, khususnya apabila usaha menjemput ahli Parlimen atau pimpinan daripada pasukan Datuk Seri Hamzah Zainudin ke program-program anjuran Pas.

"Sebagai contoh, tindakan Pas Melaka menjemput Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam program Pas tidak disenangi oleh rakan-rakan daripada Bersatu.

"Justeru, jika jemputan seperti itu pun sudah menimbulkan rasa tidak selesa, apatah lagi melibatkan pasukan yang dikenali sebagai reset untuk duduk bersama dalam gerak kerja Perikatan Nasional (PN).

"Selain itu, usaha untuk menyatukan parti-parti lain seperti Berjasa, Pejuang dan Perkasa ke dalam PN turut menemui jalan buntu akibat bantahan Bersatu. Hal ini tidak sepatutnya berlaku," katanya menerusi laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Pas secara rasmi memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan berkata, ketetapan itu, dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pusat semalam selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan dengan Bersatu.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, tambahan pula, tindakan Bersatu di Perlis dan Negeri Sembilan serta kenyataan provokatif sebahagian pemimpin parti menyerang Pas secara terbuka semakin kerap berlaku.

Tambah beliau, Pas akhirnya tidak mempunyai pilihan lain melainkan membawa isu kerjasama ini kepada Majlis Syura.

"Hasil kajian dan mesyuarat yang dibuat, Majlis Syura telah mengemukakan pandangannya untuk dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat.

"Maka, setelah melalui perbincangan yang panjang, Pas membuat keputusan secara sebulat suara untuk menghentikan kerjasama dengan Bersaty.

"Keputusan ini bukan bermaksud Pas utamakan permusuhan. Hubungan dan ukhuwah antara ahli serta pimpinan kedua-dua parti akan terus terjalin dan terpelihara," ulasnya.