Henti polemik bahasa! PM Anwar mahu rakyat fokus pendidikan & masa depan anak-anak

LocalPolitics
22 Jan 2026 • 4:32 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Rakyat Malaysia diseru agar menghentikan pertelingkahan kaum berkaitan isu polemik bahasa dan sebaliknya menumpukan usaha membina masa depan generasi muda yang lebih berdaya saing serta bersatu padu.

Polemik bahasa perlu dihentikan

Memetik laporan daripada Berita RTM, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memastikan sistem pendidikan negara terus diperkasa demi masa depan anak-anak Malaysia.

image is not available

Foto: Bernama

Pendidikan anak bangsa lebih utama dari polemik bahasa

Menurut beliau, penekanan terhadap mutu pendidikan perlu diberi perhatian serius tanpa mengabaikan kepentingan penguasaan bahasa.

“Tumpuan kita adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan anak-anak Malaysia.
“Penguasaan Bahasa Melayu yang baik kekal sebagai keutamaan dalam negara ini, di samping penekanan terhadap kepentingan menguasai Bahasa Inggeris bagi membolehkan kita bersaing di peringkat global,” katanya.
image is not available

Foto: Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, serta sekolah kebangsaan yang menawarkan subjek bahasa tambahan, dapat menguasai bahasa ibunda masing-masing dengan baik termasuk bahasa Cina, Tamil dan Arab.

Beliau turut menekankan kepentingan penguasaan Sains, Matematik, teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI) seawal peringkat persekolahan bagi melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat nasional, ASEAN dan global.

Sumber: Berita RTM