
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mencadangkan agar tiada dana tambahan disalurkan buat sementara waktu kepada skuad bola sepak kebangsaan sehingga keyakinan pulih dengan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada cadangan penambahbaikan berterusan bagi memastikan pembangunan atlet tempatan menjadi keutamaan.
“Buat masa ini, saya hanya boleh mencadangkan supaya tiada lagi dana tambahan disalurkan. Fokus dahulu kepada membantu pasukan kebangsaan dan memastikan penambahbaikan dijalankan,” katanya dipetik Berita Harian.
Permohonan naturalisasi atlet atau pemain perlu dirujuk MSN terlebih dahulu
Bagi cadangan kedua pula, Hannah berkata, pihaknya mahu sebarang permohonan naturalisasi atlet atau pemain yang dicadangkan oleh persatuan sukan kepada Kementerian Dalan Negeri (KDN) pada masa hadapan perlu dirujuk kepada Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu.
“Ini kerana melalui Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) atau program akar umbi, dana sudah dibelanjakan untuk melahirkan atlet pembangunan yang berkualiti.
“Jadi MSN lebih tahu mengenai keperluan sama ada pasukan ini memerlukan pemain warisan atau tidak,” katanya.
MSN pernah adakan sesi Townhall bersama kelab bola sepak profesional
Menurutnya, pada November tahun lalu, MSN pernah adakan sesi Townhall bersama kelab bola sepak profesional dan semasa sesi itu, kelab-kelab berkenaan sudah dimaklumkan dengan perancangan mereka mendapatkan khidmat pemain naturalisasi bagi membantu persiapan pasukan masing-masing.
“KBS mahupun MSN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang usaha mereka jika mereka mahu, kerana ia dibenarkan oleh FIFA.
“Jadi kalau mereka mahu pemain warisan, mereka kena ikuti proses yang elok untuk pastikan tiada lagi isu kontroversi seperti ini. ni adalah dua cadangan awal yang saya boleh nyatakan dan KBS akan ambil langkah berkenaan buat masa ini sebelum siasatan diperincikan,” ujarnya.
FAM mungkin berdepan hukuman lebih berat jika gagal di CAS
Dalam pada itu, memetik Harian Metro pula, Hannah berkata FAM berdepan kemungkinan hukuman lebih berat sekiranya gagal dalam rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Jelasnya, keputusan sama ada membawa kes ke CAS adalah hak FAM sebagai perayu dan mereka bebas menilai peluang masing-masing.
“Soalan sama ada wajar ke CAS atau tidak, itu adalah hak FAM sebagai perayu. Dan memandangkan mereka mempunyai hak untuk ke CAS, maka mereka mempunyai peguam sendiri untuk menasihati mereka sama ada peluang untuk berjaya itu tinggi atau tidak,”.
“Saya tidak boleh menafikan hak mereka untuk ke CAS, tetapi FAM kena bersedia jika CAS tidak memihak kepada mereka. Kemungkinan besar hukuman itu boleh ditingkatkan. Itu FAM kena buat pengiraan sendiri,” katanya.
Terdahulu, FAM menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima alasan penuh keputusan FIFA berhubung penolakan rayuan berkaitan status kelayakan tujuh pemain terbabit.
Menurut Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, sehubungan itu pihaknya akan memulakan proses membawa kes terbabit ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Ia selepas Jawatankuasa Rayuan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada 3 November lalu telah menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya berhubung kes pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi alasan bertulis penuh (motivated decision) pada 18 November lalu turut mengarahkan dua siasatan dalaman dilakukan secara terperinci oleh FAM termasuk mendedahkan dalang sebenar disebalik isu pemalsuan dokumen itu.
Baca Artikel Berkaitan: FIFA Arah FAM Dedah Dalang Sebenar Isu Pemalsuan Dokumen 7 Pemain Warisan
Baca Artikel Berkaitan: FIFA Tolak Rayuan FAM, Kekal Hukuman Denda & ‘Gantung’ 7 Pemain

