KES kemalangan maut di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 24 sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April tahun lalu merekodkan penurunan sebanyak 41 peratus.
Berdasarkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, jumlah kemalangan maut sepanjang tempoh tersebut menurun kepada 77 kes dengan 85 kematian berbanding 131 kes membabitkan 144 kematian yang direkodkan pada tahun sebelumnya.
Walaupun angka itu menunjukkan perkembangan positif, hakikatnya tragedi kemalangan jalan raya pada musim perayaan masih terus berlaku saban tahun.
Bagaimana pula dengan Aidilfitri kali ini? Tiada siapa mampu meramalkan apa yang akan berlaku namun sekiranya faktor-faktor utama penyumbang kemalangan terus dipandang ringan, tidak mustahil angka korban jalan raya kembali direkodkan kali ini.
Dalam isu ini, tanggungjawab tidak boleh diletakkan pada satu pihak sahaja. Semua pihak memainkan peranan termasuk pengguna jalan raya, agensi penguat kuasa, syarikat pengangkutan serta pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan infrastruktur jalan raya.
Seperti yang pernah ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, aspek keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan penyelarasan, akauntabiliti serta komitmen bersepadu antara kerajaan dan masyarakat.
Dalam hal ini, penulis tertarik dengan laporan akhir Pasukan Petugas Khas Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan berhubung kemalangan bas mengorbankan 15 daripada 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di KM 53 Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak 9 Jun tahun lalu.
Laporan tersebut mendapati kemalangan itu berpunca daripada gabungan kompleks beberapa faktor termasuk aspek mekanikal, kesilapan manusia, keadaan persekitaran serta kelemahan organisasi, walaupun pemandu dan syarikat bas dipertanggungjawabkan dari sudut undang-undang.
Ini menunjukkan isu keselamatan jalan raya memerlukan penelitian menyeluruh terhadap setiap aspek berkaitan. Tambahan pula setiap kali musim perayaan jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara meningkat secara mendadak apabila orang ramai pulang ke kampung halaman.
Sebagai contoh, Aidilfitri tahun lalu menyaksikan kira-kira 3.14 juta kenderaan memasuki negeri Pahang sepanjang tempoh cuti perayaan. Bayangkan sekiranya berlaku kerosakan jalan atau infrastruktur tidak diselenggarakan dengan baik ketika jumlah kenderaan meningkat berkali-kali ganda.
Selain menyebabkan kesesakan trafik, keadaan tersebut juga berpotensi mencetuskan kemalangan yang lebih serius.
Justeru, membudayakan pemanduan berhemah dan cermat merupakan kunci utama bagi memastikan perjalanan pulang ke kampung berlangsung dengan selamat.
Kawalan emosi dan sikap sabar amat penting ketika berada di jalan raya, terutama dalam keadaan trafik yang sesak.
Keterujaan untuk segera sampai ke destinasi bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga kadangkala membuatkan pemandu hilang pertimbangan sehingga melanggar peraturan jalan raya.
Selain itu, pemandu juga dinasihatkan agar tidak memaksa diri memandu ketika keletihan atau mengantuk.
Pematuhan terhadap undang-undang jalan raya dan kesedaran tinggi akan keselamatan semasa memandu amalan penting bagi memastikan musim perayaan tidak lagi dicemari kisah duka kemalangan.
*Nik Amirul Mu’Min Nik Min ialah wartawan Sinar Harian Pahang

