
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini harus dialihkan sepenuhnya kepada usaha memacu kemajuan negara menerusi tarikan pelaburan luar serta penguasaan teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum. Beliau mahu pendekatan ini diutamakan berbanding terus melayani pertikaian politik yang tidak berkesudahan.
Langkah strategik tersebut kini giat dilaksanakan melalui usaha kerajaan membawa masuk pelaburan berskala besar dalam bidang AI dan infrastruktur pusat data ke Malaysia. Selain itu, potensi besar teknologi pengkomputeran kuantum turut mula diterokai secara serius susulan siri lawatan rasmi beliau ke Jepun baru-baru ini.
Pelaburan Teknologi Demi Masa Depan Generasi Muda
Menurut Anwar, lonjakan dalam sektor teknologi tinggi ini amat kritikal bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing tinggi, sekali gus menjamin masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Untuk anak-anak kita, itu masa depan dia… AI dan kuantum… jadi, kita kena buat… kalau politik hari-hari asyik gaduh… pasal Cina, Melayu, India, kuil, masjid… sudah gaduh sahaja… bila mahu jaga negara ini?” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Ceramah Umum Pakatan Harapan (PH) bertajuk “Keadilan Untuk Bangsa Johor” di Bukit Bakri, Muar, malam tadi.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan.
Seru Rakyat Bergandandg Bahu, Tolak Sentimen Kebencian
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyeru seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum untuk bangkit dan bekerjasama dengan kerajaan bagi membina semula kekuatan ekonomi Malaysia. Beliau optimis bahawa negara mempunyai keupayaan penuh untuk memikat komuniti global, terbukti apabila banyak pihak luar kini memilih untuk melabur di Malaysia tanpa perlu kempen yang agresif.
Dalam pada itu, Anwar yang juga menyandang jawatan Presiden PKR dan Pengerusi PH sempat menitipkan pesanan berbaur amaran kepada para pemimpin serta parti politik tanah air agar bersikap lebih bijak, mendengar rintihan sebenar marhaen, dan berhenti memainkan sentimen kebencian semata-mata demi kelangsungan kuasa.
Sumber: Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA)


