Hentikan kitaran mohon maaf selepas fitnah - Kamil Munim

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 7:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Hentikan kitaran mohon maaf selepas fitnah - Kamil Munim
Muhammad Kamil. Foto fail Bernama

SHAH ALAM - Kitaran memohon maaf selepas memfitnah yang kerap dilakukan pemimpin politik perlu dihentikan dengan tindakan tegas bagi memberi pengajaran supaya perbuatan sama tidak berulang.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan ia tidak menjadi lesen atau pas percuma untuk terus memfitnah.

“Fitnah dalam politik ni ibarat racun. Sekali dah lepas, dia rosakkan reputasi, cetus kebencian dan paling jahat, dia tipu rakyat dengan naratif palsu yang sengaja direka-reka.

“Politik matang perlukan integriti, bukan manipulasi. Pemimpin yang bertanggungjawab takkan petik fakta ikut sedap mulut, apatah lagi guna isu agama.

​“Permohonan maaf tak boleh jadi ‘lesen’ atau ‘pas percuma’ untuk terus memfitnah. Kalau tak ada tindakan tegas, kitaran ni akan terus berulang, politik kita makin kotor, dan akhirnya rakyat yang rugi,” katanya salam satu kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Ahli Parlimen Jasin yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Zulkifli Ismail dan akhbar Harakah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kenyataan fitnah terhadap beliau yang dikeluarkan pada 2023.

Zulkifli yang membacakan penghakiman persetujuan bersama, berkata, pihak defendan mengakui bahawa kenyataan dikeluarkan tersebut telah mengundang pelbagai tafsiran dan salah faham dalam kalangan masyarakat terhadap plaintif (Fadhlina) yang menjejaskan nama baik beliau.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan menegaskan, taktik lama ‘fitnah dulu mohon maaf kemudian’ perlu dihentikan kerana kesannya sangat bahaya bukan sahaja kepada individu difitnah tetapi juga masyarakat secara keseluruhan.

“Persoalannya, berapa ramai rakyat dah terlanjur benci kat mangsa fitnah? Berapa banyak kepercayaan awam terhadap institusi pendidikan kita yang dah terjejas?

​Sementara kita memuji pendekatan mana-mana individu yang terkhilaf untuk memohon maaf, kerosakan akibat fitnah takkan hilang dengan satu baris permohonan maaf,” katanya.

Beliau dalam masa sama turut menggesa agar semua pihak berhenti membina politik atas asas fitnah.

 

 

View Original Article