KUALA LUMPUR - Saat dunia sedang berhadapan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan ekonomi, Malaysia malangnya masih terperangkap dengan naratif politik lama berasaskan kaum, ketakutan dan perpecahan.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy berkata, senario itu sudah terlalu menebal hingga menyukarkan Malaysia mempersiapkan diri menghadapi cabaran global, termasuk menangani tekanan besar untuk kekal kompetitif, stabil dan bersatu.
Menurut beliau, retorik politik ortodoks yang dibina atas rasa tidak selamat kaum dan ketakutan antara masyarakat masih lantang kedengaran.
“Hampir semua pihak hari ini sedang bermain dengan sentimen komuniti masing-masing demi menunjukkan bahawa merekalah ‘pelindung’ kaum sendiri dan ia adalah realiti politik Malaysia.
“Pemimpin pembangkang terus bergantung kepada naratif berasaskan ketakutan kerana mereka sudah ketandusan idea yang benar-benar bermakna untuk rakyat,” katanya.

Bidas Sivamalar, setiap kaum akan mula melihat antara satu sama lain sebagai ancaman, jika mereka saban waktu diterapkan dengan sentimen negatif dan nilai prerogratif mewakili golongan tertentu.
“Jika orang Melayu diajar supaya takut kehilangan kuasa, orang Cina diajar supaya takut kepada dominasi politik Melayu, orang India pula merasakan mereka teru dipinggirkan, maka akhirnya setiap kaum akan mula melihat antara satu sama lain bukan lagi sebagai rakyat Malaysia.,
“Ini adalah hala tuju yang sangat berbahaya bagi mana-mana negara dan sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa sesebuah negara tidak semestinya runtuh hanya kerana ancaman luar,” katanya.
Tegas beliau, banyak negara menjadi lemah dan musnah kerana perpecahan dalaman yang terlalu parah sehingga kepercayaan antara rakyat runtuh sepenuhnya.
“Yugoslavia runtuh dan tenggelam dalam konflik etnik yang ganas selepas bertahun-tahun politik perkauman dan nasionalisme sempit dimainkan.
“Politik berasaskan mazhab dan kelompok di Lebanon pula melumpuhkan pentadbiran negara serta melemahkan kestabilan nasional selama beberapa dekad,” katanya.
Turut memetik Sri Lanka sebagai contoh, Sivamalar berkata, negara itu itu mengalami trauma nasional yang panjang apabila ketegangan dan ketidakpercayaan antara kaum akhirnya bertukar menjadi konflik yang merosakkan negara.
“Malah negara maju hari ini juga sedang menghadapi ketidakstabilan yang semakin meningkat akibat masyarakat yang terlalu berpecah.
“Negara yang berpecah dari dalam akan menjadi lebih lemah dari sudut ekonomi, lebih rapuh dari sudut politik dan lebih mudah terdedah kepada ancaman luar. Pelabur akan hilang keyakinan. Golongan berbakat akan meninggalkan negara,” katanyw.
Dalam hal ini jelas beliau, barisan pemimpin negara seharusnya membina keyakinan nasional, memperkukuhkan perpaduan rakyat dan menyatukan rakyat Malaysia di bawah matlamat ekonomi dan masa depan negara yang sama.
“Kita memerlukan politik yang menenangkan ketakutan, bukan memperbesarkannya. Kita memerlukan politik yang membina keyakinan, bukan menanam rasa tidak selamat secara berterusan.
“Kita memerlukan politik yang mempersiapkan rakyat untuk masa depan, bukan politik yang terus terperangkap dalam ketakutan dan keresahan masa lalu,” katanya.
Sivamalar menarik perhatian, kepelbagaian Malaysia sepatutnya menjadi kekuatan strategik negara, bukannya senjata politik yang digunakan tanpa henti.
“Jika kita terus membiarkan politik ketakutan berasaskan kaum menguasai wacana negara, akhirnya semua pihak akan rugi.
“Politik ketakutan mungkin mampu memenangkan pilihan raya, tetapi akhirnya ia boleh menghancurkan masa depan negara,” katanya. - Getaran, 15 Mei 2026
