PUTRAJAYA - Penjual dan pengedar Remy Laure Soothing Cream perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan kandungan bahan beracun, hidrokuinon.
KKM menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, notifikasi kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama," tegas KKM.
Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang terlibat turut berdepan dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara lima tahun untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya.
Jelasnya, syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Tegas KKM, orang awam yang sedang menggunakan kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
"Hidrokuinon tidak dibenarkan digunakan dalam produk kosmetik di Malaysia. Produk yang mengandungi bahan ini adalah diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.
"Ubat yang mengandungi hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan.
"Penggunaan tanpa pengawasan yang sesuai boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang tidak diingini seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," jelas KKM.


