
KUALA LUMPUR – Daripada bermain politik “tidak matang”, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor harus memberi tumpuan kepada pentadbiran, memandangkan negerinya berada di kedudukan kedua dalam senarai negeri ‘termiskin’ berdasarkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021.
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membidas pemimpin PAS Kedah itu, dengan berkata, dakwaan beliau mengenai kedaulatan Pulau Pinang dilihat sebagai percubaan untuk mengalih perhatian terhadap kegagalannya mentadbir negeri.
“Beliau juga berhasrat untuk mengalih perhatian daripada kegagalannya sebagai menteri besar, termasuk isu air di Kedah dan penebangan hutan sehingga berlaku banjir yang mengakibatkan perubahan keadaan geografi di Yan.
“Ketiadaan pelan penyelesaian jangka pendek dan sederhana dalam isu ketiadaan air khususnya di kawasan Kuala Kedah juga dikatakan menjadi bukti kegagalan kerajaan negeri di bawah pimpinan Sanusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedudukan Pulau Pinang dalam Persekutuan Malaysia adalah jelas, justeru isu persempadanan negeri tidak seharusnya timbul dan menjadi polemik politik tidak matang menjelang pilihan raya negeri (PRN).
“Ada isu lain yang mencerminkan kegagalan kepimpinan beliau, termasuk isu perlombongan unsur nadir bumi (REE) yang tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan, serta isu pertanian, trek lumba belia, dan stadium baharu.
“Melihat kepada prestasi KDNK Kedah pada 2021, negeri itu hanya mencatatkan 3.2 peratus. Sebagai rekod, Pulau Pinang mencapai prestasi KDNK tertinggi dengan 6.8 peratus, diikuti Selangor (5.0 peratus), Terengganu (3.6 peratus) dan Perak (3.5 peratus).
“Sanusi jangan lupa beliau juga 'produk' Pulau Pinang kerana pernah belajar di USM Pulau Pinang. Selain itu, beliau pernah bekerja sebagai Pegawai Pendidikan untuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),” katanya.
Semalam, Sanusi mengulangi kenyataan beliau bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dan Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk menyokong penemuan oleh ahli sejarah dan pakar di Kedah.
Tambahnya, Pulau Pinang adalah milik Kesultanan Kedah dan mereka yang mengasaskan negeri itu, serta dakwaan bahawa mereka yang kemudian menjajahnya selama hampir 200 tahun melakukannya dengan penipuan.
Beberapa pemimpin mengecam Sanusi atas kenyataannya, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa semua pemimpin agar menghormati perjanjian perlembagaan yang diperkenankan oleh semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah.
“Kadang-kadang, apabila seseorang pemimpin berucap, dia kena faham perlembagaan, dan apa itu perjanjian.
“Perjanjian itu mungkin telah ditandatangani 300, 1,000 tahun dahulu, (tetapi) sudah ada perjanjian muktamad penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.
“Nak ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain, tetapi sebagai Menteri Besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan,” katanya. - The Vibes, 2 Jun 2023

