Hentikan retorik api sentimen agama – ABIM

LocalPolitics
10 Mar 2026 • 3:48 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Fahmi

PUTRAJAYA – Semua pihak digesa untuk menghentikan retorik yang mengapi-apikan sentimen agama kerana ia hanya akan memperdalam jurang antara komuniti serta menggugat keharmonian masyarakat.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, insiden kenderaan dibakar milik beberapa individu serta kejadian kepungan terhadap seorang individu oleh pihak tidak dikenali yang dilaporkan baru-baru ini perlu dipandang serius.

Menurut beliau, apa jua latar belakang atau motif di sebalik kejadian tersebut, sebarang bentuk keganasan, ancaman atau intimidasi sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

"ABIM mengutuk tindakan keganasan tersebut dan menyeru agar pihak berkuasa menjalankan siasatan yang menyeluruh serta telus bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tegas Ahmad Fahmi, mempertahankan kedudukan agama atau hak masyarakat tidak boleh dilakukan melalui provokasi, retorik yang mengapi-apikan sentimen atau tindakan di luar kerangka undang-undang.

"Pada masa sama, pelanggaran terhadap peraturan yang sedia ada, termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan yang sah, juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat," jelas beliau.

Menurutnya, isu seperti ini tidak seharusnya dipolitikkan sebagai pertembungan antara menyokong atau menentang kerajaan.

Hakikatnya beliau berkata, persoalan yang sedang dihadapi ialah bagaimana masyarakat mengurus sensitiviti agama serta mematuhi undang-undang secara bertanggungjawab.

"Mengheret isu ini ke dalam polemik politik hanya akan mengaburkan permasalahan sebenar dan berisiko memperbesarkan ketegangan dalam masyarakat," katanya.

Tambah beliau, dalam situasi melibatkan ketegangan awam atau potensi ancaman keselamatan, langkah pencegahan yang lebih proaktif amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Sehubungan itu katanya, mana-mana pihak yang mempunyai pertikaian berkaitan isu agama atau pembinaan rumah ibadat perlu menyelesaikannya melalui saluran undang-undang serta mekanisme dialog yang sah.