Hentikan Segera Budaya Minta Komisen - PM 

Politics
3 Apr 2023 • 3:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Anwar (tengah) berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini. - Gambar dari Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam diminta segera menghentikan budaya meminta komisen apabila melakukan sebarang tugasan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini berkata, tabiat itu akan mengambil masa yang panjang untuk dihentikan.

“Kita tidak boleh nafikan ia masih berlaku. Saya mendapat tahu, kadangkala ada yang meminta komisen daripada pejabat saya, pejabat menteri dan pegawai lain.

“Ini kerana ia adalah budaya lama yang akan mengambil masa untuk dibersihkan.

“Jadi saya minta kerjasama semua kerana apabila imej (kita) bagus, ia akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Anwar ketika berucap pada perhimpunan tersebut turut diapit kedua-dua Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof. 

image is not available
Sebahagian daripada kakitangan JPM pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, Anwar bercakap mengenai keperluan untuk menggunakan pendekatan baharu yang lebih efisien dan bersih dalam perkhidmatan awam.

Sempena Ramadan katanya, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan untuk umat Islam menghayati dan mengamalkan ajaran yang disebut oleh kitab suci Al-Quran.

Katanya, beliau telah menyarankan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali agar semua jabatan, kementerian dan agensi menganjurkan tazkirah agama pada waktu tengah hari, atau Zohor, dengan menumpukan kepada potongan ayat Al Quran tertentu. - The Vibes, 3 April 2023