
Kota Kinabalu: Setiausaha Politik (Supol) kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia menggesa supaya moratorium pembangunan cerun bukit di seluruh negeri dilaksanakan segera berikutan siri kejadian tanah runtuh yang meragut 13 nyawa dan memaksa lebih 3,000 orang berpindah dalam salah satu kejadian hujan lebat paling buruk minggu lalu.
“Kira-kira 3,000 kawasan berisiko tanah runtuh telah dikenal pasti di seluruh negeri. Kita tidak boleh lagi beroperasi seperti biasa,” kata Dr Roland.
“Pembangunan cerun bukit tanpa kawalan melalui aktiviti pembersihan tanah dan pemotongan bukit meningkatkan kadar hakisan tanah serta aliran air, sekali gus menjadikan komuniti kita lebih terdedah semasa musim monsun,” jelasnya.
Beliau membuat gesaan itu selepas melawat masyarakat terjejas dan mengagihkan bekalan kecemasan kepada keluarga yang kediaman mereka rosak di Kg Sukang-Mabpai, Kg Minitod dan Kg Bantayan di Inanam.
Bencana itu turut menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur termasuk sebuah menara pemancar runtuh yang mengakibatkan 230,000 penduduk di kawasan pantai timur terputus bekalan elektrik.
Antara kawasan paling terjejas ialah Penampang, Papar, Inanam dan Kota Kinabalu.
Beliau turut menggariskan pelan tindakan empat perkara yang perlu dilaksanakan segera iaitu pembekuan pembangunan serta-merta, penguatkuasaan peraturan lebih ketat, penstabilan cerun dan perlindungan komuniti.
Bagi pembekuan pembangunan serta-merta, beliau mencadangkan larangan di seluruh negeri terhadap projek pembangunan cerun baharu di zon berisiko tinggi, khususnya di cerun melebihi 25 darjah, dengan undang-undang zon terkini yang melarang pemotongan bukit di kawasan tadahan air.
Bagi penguatkuasaan peraturan lebih ketat, beliau mencadangkan penilaian impak alam sekitar diwajibkan bagi semua pembangunan cerun, dengan hukuman berat sekiranya gagal mematuhi, serta penubuhan jawatankuasa pemantau khusus seperti program Slope Watch di Semenanjung Malaysia.
Beliau juga mencadangkan pelaksanaan penyelesaian bio-kejuruteraan menggunakan tumbuhan tempatan dan pengukuhan struktur seperti tembok penahan serta sistem saliran bagi menambah baik cerun yang sedia terdedah.
Bagi perlindungan komuniti, beliau mencadangkan pemindahan komuniti cerun berisiko tinggi ke kawasan lebih selamat, penaiktarafan infrastruktur dengan reka bentuk kalis banjir, serta pendidikan awam menyeluruh mengenai keselamatan cerun.
“Moratorium ini mesti digandingkan dengan langkah proaktif untuk melindungi nyawa, memelihara ekosistem kita dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Langkah pencegahan jauh lebih murah daripada kos nyawa dan kewangan akibat bencana berulang,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya langkah-langkah ini dilaksanakan secara menyeluruh, ia mampu mencegah tragedi masa depan sambil mengekalkan momentum pembangunan Sabah melalui amalan yang lebih selamat dan mampan.
