
KUALA LUMPUR - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa semua pihak menghentikan sebarang cubaan untuk memainkan isu perkauman dan agama.
Presidennya, Badlishah Shah Baharin berkata, sekiranya isu perkauman dan agama tidak dibanteras, ia boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“IKRAM memandang serius dan mengambil berat perkembangan mutakhir berhubung sentimen perkauman dan agama yang berlegar dalam kalangan masyarakat, khususnya disebar melalui media sosial.
“Isu perkauman dan agama sudah dijadikan modal dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), setelah berakhirnya pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan.
Badlishah Shah berkata, semua pemimpin sama ada pemimpin politik atau pemimpin masyarakat, perlu memainkan peranan untuk memastikan pengikut dan masyarakat, menjaga keharmonian serta perpaduan yang terbina sekian lama.
Katanya, sebarang cubaan untuk menggugat keharmonian negara, harus dibanteras berlandaskan peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, IKRAM mengambil maklum ‘cuaca’ politik negara masih panas, memandangkan tiada gabungan politik yang mempunyai majoriti di dalam Dewan Rakyat, berdasarkan keputusan PRU-15.
“Bagaimanapun, IKRAM menyeru semua rakyat bertenang sementara proses kerajaan baharu dibentuk berlandaskan lunas Perlembagaan negara.
“IKRAM amat mengambil berat sensitiviti umat Islam di Malaysia dan pada masa sama, menghormati hak serta pandangan semua kaum di negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Badlishah Shah berkata, Malaysia dibina sebagai negara majmuk supaya rakyat hidup dengan aman damai dan makmur.
Jelasnya, perpaduan utuh di antara masyarakat pelbagai kaum merupakan prasyarat untuk Malaysia menjadi sebuah negara makmur, maju dan progresif.
Perpaduan utuh, katanya, amat kritikal pada masa sekarang, ketika negara menghadapi pelbagai cabaran dan keadaan ekonomi tidak menentu.
“IKRAM menyeru agar semua pihak untuk berganding bahu mempertautkan dan mengukuhkan semula hubungan di antara sesama anggota masyarakat, setelah negara melalui pilihan raya umum yang menimbulkan rasa tidak senang di antara satu sama lain.
“Sebagai rakan strategik dalam pembinaan negara, IKRAM akan sentiasa memberikan komitmen terbaik untuk memperkukuh perpaduan nasional di negara ini, selain bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menjunjung aspirasi sama,” katanya. – Getaran, 22 November 2022

