Hentikan stigma ibu Caesarean

Health & FitnessFamily & Parenting
8 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hentikan stigma ibu Caesarean

Bersalin normal atau Caesarean? Soalan itu mungkin kedengaran biasa, namun bagi sesetengah ibu, pertanyaan berkenaan boleh mengembalikan pengalaman dan emosi yang sukar dilupakan.

Lebih menyedihkan, masih ada yang berdepan pandangan sinis hanya kerana melahirkan anak menerusi pembedahan.

Sedangkan, cara bersalin tidak sepatutnya menjadi ukuran terhadap pengalaman atau kemampuan seseorang ibu.

Bagi usahawan kosmetik, Tyra Kamaruzzaman, pengalaman melalui dua pembedahan Caesarean membuka matanya tentang stigma terhadap ibu yang bersalin menerusi kaedah berkenaan.

Katanya, tidak adil untuk melabel ibu yang melalui Caesarean sebagai tidak kuat, terutama mereka yang terpaksa menjalani pembedahan secara kecemasan.

Malah, proses pemulihan selepas pembedahan turut menguji kekuatan fizikal dan emosi ibu.

“Kelahiran bayi pertama saya adalah melalui Caesarean kecemasan, bukan seperti yang diharapkan.

“Tetapi pengalaman itu amat indah terutama apabila mendengar tangisannya hingga saya terlupa seketika kesakitan yang dialami,” katanya dalam sesi perkongsian See Her Heal – 1,000 Untold Stories baru-baru ini.

Pengalaman hampir sama dikongsi personaliti media sosial, Sasha Abdul Aziz yang pada awalnya menjangkakan kelahiran secara normal sebelum terpaksa menjalani Caesarean kecemasan.

Ibu kepada tiga anak itu mengakui tidak bersedia dari segi mental dan fizikal apabila rancangan kelahiran berubah, malah proses pemulihan yang dilaluinya sangat menyakitkan.

“Saya mengalami kemurungan selepas bersalin tanpa saya sedari, malah seminggu kemudian luka pembedahan pula mengalami jangkitan.

“Malangnya, masyarakat masih memandang serong golongan seperti kami seolah-olah sesuatu yang memalukan hanya kerana ‘beranak ikut tingkap’,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Menarini Malaysia, Josie Ong berkata, pemulihan selepas melahirkan anak merupakan pengalaman yang amat peribadi.

Katanya, ramai ibu mungkin merasakan sebahagian daripada pengalaman pembedahan Caesarean mereka masih kurang difahami.

Justeru, melalui kempen itu, pihaknya berharap dapat menyediakan ruang kepada para ibu untuk berkongsi kisah dan mendapatkan sokongan.

“Inisiatif ini penting supaya mereka didengari dan tidak berasa keseorangan.

“Sempena 15 tahun Dermatix di Malaysia, kempen ini dalam masa sama mencerminkan komitmen kami untuk memberi lebih banyak sokongan dan pemahaman kepada para ibu selepas bersalin,” katanya.

The post Hentikan stigma ibu Caesarean appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved