
Habbatus Sauda atau dirujuk sebagai jintan hitam (nigella sativa) merupakan salah satu herba yang sering digunakan untuk tujuan perubatan tradisional kerana herba ini membekalkan khasiat yang pelbagai. Nama habbatus sauda ini asalnya daripada Bahasa Arab merujuk kepada biji hitam yang dihasilkan oleh herba tersebut.
Cara pemprosesan yang dilakukan sangat penting untuk mengekalkan nutrien dalam herba. Minyak daripada herba itu diekstrak dan diproses untuk mengekalkan nutrien- nutrien penting termasuk asid lemak, omega-3, omega-6, vitamin, mineral dan antioksida. bukan itu sahaja, penggunaan habbatus sauda telah berkembang sejak beribu tahun dahulu malahan sehingga kini.
Kebanyakan masyarakat Islam telah mengamalkan pengambilan habbatus sauda sebagai makanan sunnah kerana diyakini mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan penyakit kronik lain seperti penyakit kanser.
إِنَّ هَذِهِ الحَبَّةَ السَّوْدَاءَ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ، إِلَّا مِنَ السَّامِ، قُلْتُ: وَمَا السَّامُ؟ قَالَ: المَوْتُ
Nabi SAW bersabda ‘’Sesungguhnya, Habbatus Sauda adalah penawar bagi setiap penyakit kecuali Al-Saam. Aisha bertanya. Apa itu Al-Saam? iaitu kematian''.
Kajian oleh perubatan terkenal Ibnu Sina dan Ibnu Qayyum Al-Jawziyyah dalam bukunya ‘Medicine of the Prophet’ membahaskan habbatus sauda sebagai herba tumbuhan yang berkesan merawat penyakit seperti sistem penghadaman, pembiakan dan merawat organ dalaman.
Dalam karya Kanun Fil Tibb oleh Dr. Abu Ali Hussain bin Abdullah bin Sina atau dikenali sebagai Ibnu Sina memerihalkan berkenaan darah haid wanita yang bermasalah dapat dirawat dengan habbatus sauda. Ia terbukti dapat melancarkan pengaliran darah wanita haid.
Satu penyelidikan daripada ‘Critical Review in Food and Nutrition’ bahawa habbatus sauda bermanfaat untuk pelbagai penyakit kronik seperti barah kerana ia terkandung 67 bahan aktif. Thymoquinone antara 67 bahan aktif, dimana ianya merupakan sebatian utama yang bertindak melawan pelbagai penyakit barah.
Walau bagaimanapun, ia bukan sahaja dapat menghalang penyakit barah daripada merebak malahan ianya mampu menguatkan sistem imunisasi badan seseorang manusia dan ia telah digunakan untuk merawat pesakit Covid-19. Beberapa kajian untuk mengetahui keberkesanan habbatus sauda telah dibuat untuk menyembuhkan pesakit yang menghidapi Covid-19.
Arab Saudi juga telah menggunakan habbatus sauda untuk membuat kajian ke atas pesakit Covid-19. Kajian mendapati bahawa sebahagian daripada pesakit yang diberi minyak habbatus sauda adalah lebih cepat sembuh dalam masa yang singkat berbanding pesakit yang tidak diberi minyak habbatus sauda.
Terbukti bahawa bahan aktif yang terdapat dalam habbatus sauda dapat menghalang badan daripada terkena penyakit.
Dari aspek perubatan tradisional, minyak habbatus sauda telah dirujuk sebagai ‘panacea’ iaitu penyembuh segalanya kerana diperlukan untuk menyembuhkan pelbagai penyakit selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.
Nabi SAW bersabda '‘Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan telah disediakan bagi setiap penyakit ada ubatnya. Maka, berubatlah dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamakan’'. [Hadis Riwayat Abu Daud]
إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلَا تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ
Oleh hal yang demikian, minyak yang dihasilkan dari sebatian utama herba ini telah memberi manfaat kesihatan kepada kita. Banyak penyakit kronik yang dapat dirawat dengan menggunakan herba ini.
Penyakit jantung antara penyakit yang sangat merbahaya. Ia terjadi disebabkan saluran darah menjadi sempit disebabkan plak kolesterol terkumpul. Kesannya, bekalan darah untuk disalur ke jantung tidak mencukupi menyebabkan penyakit jantung terjadi.
Berdasarkan penyelidikan yang telah dibuat, minyak yang dihasilkan daripada habbatus sauda mengandungi sebatian utama iaitu thymoquinone yang tinggi dengan anti oksida. Sebatian ini mampu menghalang radikal bebas daripada merosakkan sel-sel badan manusia.
Selain itu, minyak habbatus sauda juga dapat meningkatkan kelembapan kulit seperti jerawat, ekzema dan kulit kering. Ada juga yang mengatakan bahawa minyak boleh merawat masalah rambut kelelemumur.
Tambahan pula, minyak habbatus sauda dapat merawat pelbagai penyakit asma. Terdapat kajian dilakukan ke atas pesakit asma yang mengamalkan pengambilan habbatus sauda 2 kali sehari membantu mengawal kadar pernafasan terhadap asma.
Jelaslah bahawa, habbatus sauda membawa banyak manfaat untuk kesihatan kita. Buktinya, banyak penelitian telah dibuat oleh para ulama, kajian saintifik dan perubatan. Namun begitu, pengambilan habbatus sauda sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang seimbang.
Pemakanan yang sihat dan gaya hidup yang seimbang merangkumi kesihatan dari segi mental dan fizikal perlu dititikberatkan untuk mencapai kesihatan yang menyeluruh serta hidup yang berkualiti.
Hamizah Sudin adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
