liza28/04/2026 - 09:45 Ilustrasi Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak - Nia Group Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 April – Hextar Capital Bhd memperoleh subkontrak pembinaan bernilai RM155.3 juta bagi projek Hospital Angkatan Tentera di Kem Terendak, Melaka yang mengukuhkan lagi kedudukannya dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata subkontrak berkenaan dianugerahkan oleh FNA Builders & Services Sdn Bhd kepada anak syarikat milik penuhnya, Legacy Core Sdn Bhd.
Menurutnya, skop kerja melibatkan pembinaan cerucuk, kerja perobohan, pembinaan bangunan serta pembangunan infrastruktur berkaitan projek tersebut.
“Projek ini dijadualkan siap menjelang Ogos 2028 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta keuntungan masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Hextar Capital, Johnson Chang berkata pihaknya komited untuk melaksanakan projek tersebut dengan cekap serta menepati piawaian kualiti yang ditetapkan.
“Kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan projek akan menjadi keutamaan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan serta kejayaan menyiapkan projek berkenaan.
“Kumpulan melalui Legacy Core terus memberi tumpuan kepada pengukuhan buku tempahan dengan meneroka peluang strategik baharu selaras dengan usaha kumpulan untuk meningkatkan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan serta memperluaskan kehadiran dalam sektor pembinaan,” katanya.
Sebelum ini, Hextar Capital yang dikenali sebagai Opcom Holdings Bhd terlibat dalam pembuatan kabel gentian optik, kejuruteraan rangkaian dan infrastruktur telekomunikasi.
Syarikat itu diterajui oleh usahawan tempatan, Eddie Ong Choo Meng, dan terus mempergiat usaha mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen pembinaan sebagai pemacu pertumbuhan baharu. - DagangNews.com






