HFMD: 120 premis ditutup di Pulau Pinang

14 Jun 2022 • 6:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Sebanyak 120 pelbagai premis ditutup susulan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang sejak Januari hingga 11 Jun lepas dengan 4,263 kes HFMD direkodkan sepanjang tempoh sama.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata jumlah kes sehingga minggu epid ke-23 itu menunjukkan peningkatan 32 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 176 kes HFMD dicatatkan.

Beliau berkata pada masa ini, Pulau Pinang merupakan negeri keempat tertinggi dari segi jumlah kluster HFMD iaitu sebanyak 118 kluster direkodkan sejak Januari hingga 11 Jun.

“Ketika ini daerah Barat Daya merekodkan kes HFMD paling banyak iaitu 1,069 kes berbanding 50 kes bagi tempoh sama tahun lepas diikuti Seberang Perai Tengah (896 kes berbanding 54 kes tahun lepas), Seberang Perai Utara (880 kes berbanding 20 kes tahun lepas).

“Daerah Timur Laut pula merekodkan 851 kes berbanding 46 kes tahun lepas manakala Seberang Perai Selatan sebanyak 567 kes berbanding lapan bagi tempoh sama tahun lepas,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlela berkata sejak Januari hingga 11 Jun lepas, sebanyak 120 premis membabitkan taska sebanyak 49 buah, tadika (38), prasekolah (17), tabika (10), pusat jagaan (tiga), sekolah (dua) dan lain-lain (satu) ditutup berikutan terdapat kes HFMD di situ.

“Ketika ini, dua premis masih ditutup manakala 118 lagi telah dibuka semula. Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang jika terdapat dua kes HFMD di premis terlibat arahan penutupan serta-merta dikeluarkan dan ia perlu ditutup selama enam hari,“ katanya.

Beliau berkata tindakan JKN Pulau Pinang mengurangkan tempoh tutup premis daripada 10 hari kepada enam hari kerana tempoh inkubasi virus itu antara tiga hingga lima hari manakala virus hidup antara tujuh hingga 10 hari.

“Pihak JKN Pulau Pinang juga menasihatkan agar menunda pertandingan mewarna yang dianjurkan di mana-mana premis terlibat jika kanak-kanak berkongsi pensil warna kerana jangkitan HFMD boleh merebak melalui cecair ruam di tangan,“ katanya.-Bernama