Hidangan bufet segar, petani dan penternak 'kenyang'

LocalFood
3 Mar 2026 • 2:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rosmawati semasa beramah mesra dengan pelajar tahfiz di SICC, Kota Kinabalu.
image is not available
Antara makanan segar yang disediakan di SICC diperoleh daripada petani dan penternak tempatan.

KOTA KINABALU - Berkonsepkan 'farm-to-table' atau dari ladang terus ke meja, inisiatif yang diperkenalkan di sebuah pusat konvensyen di sini sepanjang Ramadan ini memberi peluang kepada petani dan penternak tempatan untuk turut meraih manfaat ekonomi menerusi penyediaan bufet harian.

Pendekatan tersebut bukan sahaja memastikan setiap bahan mentah yang digunakan kekal segar dan berkualiti, malah membuka ruang pasaran lebih luas kepada pengusaha tempatan bagi membekalkan keperluan untuk penyediaan 850 hidangan setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Datuk Rosmawati Lasuki berkata, inisiatif itu dilaksanakan sejak awal tahun bagi memastikan bekalan konsisten dan harga pula berpatutan.

"Mulai tahun ini, kita menggunakan pendekatan 'farm-to-table' iaitu semua bahan makanan diperoleh terus dari ladang untuk membantu ekonomi tempatan sambil memastikan makanan yang dihidangkan segar dan berkualiti.

"Chef kita sendiri turun ke kampung, berjumpa petani dan membuat tempahan awal tiga bulan sebelum disediakan untuk bufet di pusat konvensyen ini. Dengan cara ini, bekalan bahan mentah sentiasa konsisten dan petani turut mendapat manfaat daripada permintaan yang terhasil," katanya kepada pemberita semasa majlis berbuka puasa bersama media di sini.

**media[3451324]**

Beliau menambah, kerjasama itu melibatkan pelbagai hasil tani termasuk udang, ikan, sayur-sayuran dan beras daripada petani dan penternak tempatan.

"Bayangkan, kalau kita perlukan satu tan udang, ia datang terus dari Kota Belud. Begitu juga beras, ikan dan sayur-sayuran, semuanya daripada penternak dan petani tempatan.

"Ini bukan sahaja memastikan kualiti hidangan, tetapi juga menyokong rantaian ekonomi tempatan. Setiap permintaan yang dibuat membawa rezeki kepada petani, pengusaha kecil, dan juga tenaga kerja di ladang serta pasaran tempatan.

"Dengan kata lain, apabila orang ramai menikmati hidangan segar, komuniti tempatan seperti petani dan penternak turut 'kenyang' dari segi ekonomi," ujarnya.

Tambahnya lagi, ciri utama program tahun ini adalah dengan mengukuhkan kerjasama SICC dengan agensi persekutuan dan negeri bagi menyokong ekosistem pertanian dan perikanan negara.

"Antara rakan strategik kita termasuk daripada Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA)," katanya.

View Original Article