Hidap kanser tulang, Shahronizam bakal jalani kemoterapi, berubat kampung

LocalHealth & Fitness
11 Jun 2026 • 9:40 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pelakon Shahronizam Noor berkongsi perkembangan terkini berhubung tahap kesihatannya selepas disahkan menghidap kanser tulang tahun lalu.

Bakal jalani kemoterapi

Image from: Hidap kanser tulang, Shahronizam bakal jalani kemoterapi, berubat kampung

Memetik laporan Gempak, menurut Shahronizam, dia dijadualkan menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT scan) pada 9 Julai depan sebelum bertemu pakar onkologi bagi menilai perkembangan penyakit yang dihadapinya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan doktor turut mencadangkan rawatan kemoterapi sebagai antara kaedah yang berkesan untuk merawat kanser tersebut.

“Mungkin daripada CT scan itu nanti kita boleh lihat bagaimana perkembangan atau status kanser itu. Sebelum ini, doktor onkologi mencadangkan supaya saya menjalani kemoterapi.
“Rawatan kemoterapi yang dicadangkan doktor sebanyak enam kitaran. Setiap kitaran memerlukan saya dimasukkan ke hospital selama lima hari sebelum berehat selama tiga minggu untuk meneruskan kitaran seterusnya.
“Proses itu akan berterusan sehingga enam kitaran dan mengambil masa kira-kira enam bulan. Jadi, kalau saya mula menjalani kemoterapi, agak sukar untuk saya bekerja seperti biasa,” katanya di Banglo 289 pada Rabu.

Suami kepada penyanyi Safura itu turut mendedahkan bahawa dia tidak hanya bergantung kepada rawatan moden, malah berusaha mendapatkan rawatan alternatif sebagai ikhtiar tambahan.

Image from: Hidap kanser tulang, Shahronizam bakal jalani kemoterapi, berubat kampung

“Bukan setakat rawatan moden sahaja yang saya lakukan, tetapi saya juga berikhtiar melalui rawatan tradisional dengan air penawar,” katanya lagi.

Pada masa sama, pelakon berusia 53 tahun itu meluahkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada rakan-rakan selebriti dan pihak produksi sepanjang melalui ujian kesihatan tersebut.

“Ramai rakan selebriti yang bertanya khabar, telefon dan mesej. Mereka tanya keadaan saya bagaimana dan sebagainya. Ramai yang anggap saya seperti adik, terutama rakan-rakan yang lebih senior.
“Mungkin mereka nampak saya macam baik-baik sahaja. Tetapi kita sendiri tahu bagaimana keadaan badan kita, lebih-lebih lagi apabila berdepan kanser tulang.
“Perkara itu memang membuatkan saya sangat terharu. Ada kawan-kawan yang sanggup susah bersama saya dan cuba memudahkan urusan saya,” ujarnya.

Artikel lain: Ujian besar Shahronizam! Terima keputusan, Safura sahkan suami hidap kanser tahap dua

Sebelum ini, Shahronizam dilaporkan mengalami kesakitan pada bahu kanan. Namun selepas menjalani pemeriksaan lanjut, beliau dimaklumkan kesakitan tersebut berpunca daripada ketumbuhan tumor pada bahagian scapula.

Pada Ogos tahun lalu, Shahronizam mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Ampang sebelum kesnya dirujuk ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut.

Beliau kemudian menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di Hospital Ampang pada 12 September tahun lalu sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi tindakan selanjutnya.

Sumber: Gempak (Amirul Ilyasha)

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved