Hidap Penyakit Jarang Jumpa, Muhammad Zikry Perlu Bantuan Rawatan RM195,000

15 Jul 2024 • 3:10 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Hidap Penyakit Jarang Jumpa, Muhammad Zikry Perlu Bantuan Rawatan RM195,000

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, Muhammad Zikry Khamis Khalid, kehilangan kaki kirinya yang terpaksa dipotong akibat penyakit genetik neurofibromatosis jenis 1 (NF1) yang dihidapinya.

NF1 adalah penyakit jarang jumpa yang menyebabkan kelainan pada kulit dan tulang serta boleh menyebabkan ketumbuhan besar atau kecil pada saraf neural yang boleh berlaku di otak, saraf tunjang dan urat saraf.

Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau, menjelaskan bahawa Muhammad Zikry dilahirkan normal, tetapi tanda-tanda penyakit tersebut dikesan ketika berusia lapan bulan apabila kaki kirinya semakin membesar akibat plexiform neurofibroma, iaitu lebihan tisu pada kulit.

Menurut beliau, Muhammad Zikry disahkan menghidap NF1 dan perlu menjalani pembedahan laparotomi untuk membuang plexiform neurofibroma di perutnya pada usia empat tahun.

Pada usia lapan tahun, dia terpaksa menjalani pembedahan sendi pinggul untuk membuang plexiform neurofibroma di kaki kirinya.

“Semasa usia lapan tahun, Muhammad Zikry terpaksa menjalani pembedahan sendi pinggul untuk membuang plexiform neurofibroma di bahagian bawah kaki kirinya.

“Selama bertahun-tahun, dia mengalami keadaan seperti sindrom cauda equina yang menyebabkan dia mengalami pundi kencing neurogenik (tidak berfungsi) dan skoliosis atau tulang belakang bengkok lebih 70 darjah.

“Ibu bapanya tidak berani membenarkan pembedahan tulang belakang dijalankan kerana doktor memberitahu kadar kejayaan adalah 50 peratus sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dana diperlukan untuk tampung kos ubat-ubatan demi elak tumor terus merebak

Beliau berkata, bapa remaja tersebut, Khamis Khalid Ahmad Fadzil, 48, berasal dari Labu, Negeri Sembilan, juga menghidap neurofibromatosis.

Tambah beliau, keadaan Muhammad Zikry kini tidak terkawal apabila tumor terus merosakkan belakang, pangkal paha dan skrotumnya, sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak.

“Dia terpaksa berkerusi roda untuk ke sekolah selain merangkak untuk bergerak ketika berada di rumah sekali gus menyebabkan pelajar Tingkatan Empat ini mudah letih.

“Doktor mengesyorkan dia menggunakan ubat baharu bagi mengelak masalah sarafnya semakin teruk atau merebak, namun harganya terlalu mahal,” katanya.

Justeru, pihak One Hope Charity & Welfare berhasrat mengumpul dana sebanyak RM195,000 untuk menampung kos ubat-ubatan tersebut dalam usaha mengelakkan tumor daripada terus merebak.

“Pendapatan keluarganya hanya bergantung kepada bapa yang bekerja sebagai juruteknik kilang manakala ibunya pula seorang suri rumah.

“Keluarga ini turut membesarkan seorang lagi anak perempuan berusia 20 tahun yang masih menuntut di sebuah kolej tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3201428817 atas nama One Hope Charity & Welfare.

Sumber: Sinar Harian