Hidupan Laut Mati Akibat Air Pasang Merah di Pulau Pinang

28 Aug 2023 • 7:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fenomena air pasang merah yang berlaku di Pulau Pinang. - gambar Facebook

GEORGE TOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang akan memanggil Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian air pasang merah di perairan negeri itu dekat sini sejak Sabtu lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata dalam masa sama pihaknya akan terus memantau fenomena itu yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan nelayan di perairan Teluk Bahang dan Sungai Pinang, Balik Pulau, kerana banyak ikan dan hasil laut yang mati.

"Kejadian itu (banyak ikan mati) dipercayai berpunca daripada red waves (air pasang merah), ini memang satu gejala yang berlaku dari semasa ke semasa dan saya dimaklumkan ada kejadian ini.

''Kita (kerajaan negeri) akan dapat maklumat lanjut daripada Jabatan Perikanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar, kita akan pantau kejadian ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, fenomena tersebut menimbulkan kebimbangan nelayan berikutan ia menyebabkan ikan dan hidupan laut mati di sekitar kira-kira satu kilometer daripada kawasan Muka Head hingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Bahang Johari Mohamad berkata kejadian disedari nelayan selepas terdapat jalur-jalur berwarna merah dan bangkai ikan terapung di permukaan laut.

Katanya fenomena jaluran warna merah memanjang di tengah laut boleh dilihat dengan jelas dan keadaan air laut juga tidak secantik seperti selalu sejak dua hari lepas.

"Kejadian sama pernah berlaku pada awal tahun ini dan banyak ikan mati, masa itu dalam tiga hingga empat hari nelayan tidak turun ke laut.. kami (nelayan) bimbang sekiranya fenomena air pasang merah itu berterusan sehingga menyebabkan hasil laut menyusut," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr Aileen Tan berkata fenomena itu dipercayai berpunca daripada sejenis plankton Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.

''Kejadian yang sama berlaku pada April lepas semasa musim panas apabila hujan membawa nutrien dari darat ke lautan,” katanya.

Beliau berkata, kelompok plankton itu bersaiz besar selain ia mampu menyumbatkan insang ikan atau kekurangan oksigen dalam air.

Dr Aileen berkata, pasukannya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kematian ikan di kawasan terlibat namun berdasarkan hipotesis ia mungkin disebabkan oleh kawasan anoksik atau ketiadaan oksigen di laut dan juga penyumbatan insang ikan.

Katanya, pembiakan plankton Noctiluca Scintillans berpunca daripada variasi dalam faktor persekitaran seperti suhu atmosfera (dikaitkan dengan hujan yang tinggi) yang boleh mengakibatkan perubahan suhu permukaan laut serta ketersediaan nutrien terlarut. - BERNAMA