KUALA LUMPUR, 16 OKT: Amalan gotong-royong dalam masyarakat wajar dihidupkan kembali bagi memperkukuh budaya nilai tinggi dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata amalan berkenaan juga dapat membentuk perpaduan dan menjalin persaudaraan.
“Nilai murni yang terkandung dalam gotong-royong dapat memberi kesan baik kepada pembentukan dan pembangunan tingkah laku, sikap dan perwatakan dalam diri individu dan masyarakat.
“Justeru, ia wajar dijadikan elemen ini tidak boleh sama sekali dipinggir dan harus dipupuk sejak usia kecil dalam membentuk masyarakat yang tinggi nilai budayanya,” kata Dr Mohd Yuszaidy Mohd Yusoff.
Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk Gotong Royong Amalan Budaya Nilai Tinggi dalam Perspektif Budaya dan Warisan sempena Seminar Keilmuan Budaya 2024 di sini, semalam.

Terdahulu, kira-kira 200 peserta menyertai Seminar Keilmuan Budaya 2024, program anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dengan kerjasama Aswara dan UKM yang antara lain mengupas tema budaya dan teknologi serta bahasa dan sastera.
Berlangsung sehingga hari ini, seminar turut dimuatkan dengan sesi forum yang membincangkan topik budaya nilai tinggi dan negara maju bangsa berbudaya yang akan turut menampilkan sasterawan negara sebagai pembentang kertas kerja iaitu Datuk Seri Prof Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

The post Hidupkan kembali gotong-royong, elemen penting perkukuh budaya nilai tinggi appeared first on Selangorkini.

