Hidupkan nostalgia, T-ARA bikin peminat ‘cair’

EntertainmentMusic
17 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hidupkan nostalgia, T-ARA bikin peminat ‘cair’

SEBAIK empat wanita yang pernah menggegarkan pentas K-pop, Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon muncul di pentas MegaStar Arena Kuala Lumpur, nostalgia era kegemilangan T-ARA kembali menyala seolah-olah masa tidak pernah berlalu.

Menerusi T-ARA Fan-Con in Malaysia 2026 (Summer Again) pada Ahad lalu, ribuan peminat bukan hanya disajikan persembahan istimewa, malah dibawa menyelusuri memori dendangan yang pernah menjadi fenomena seperti Roly-Poly, Lovey-Dovey, Bo Peep Bo Peep dan Sugar Free.

Seawal kemunculan di pentas, sorakan pengikut tegar kumpulan itu yang digelar Queen’s bergema memenuhi dewan, menandakan keampuhan aura kumpulan legenda K-pop yang bergabung semula sekali gus relevan sehingga ke hari ini.

Acara yang bermula tepat pukul 5 petang itu menjadi pertemuan indah mereka di Malaysia, sekali gus memberikan ruang lebih dekat untuk berinteraksi dengan peminat yang sudah lama menantikan kemunculan mereka.

Sepanjang persembahan, T-ARA turut membawakan rangkaian lagu tambahan seperti Cry Cry, Number Nine, Sexy Love dan Day by Day yang membuatkan penonton ikut menyanyi bersama.

Image from: Hidupkan nostalgia, T-ARA bikin peminat ‘cair’
Summer Again akhirnya bukan sekadar sebuah fan-con, tetapi pertemuan semula T-ARA yang masih kental sebagai kesayangan peminat.

Segmen khas medley retro turut diselitkan dengan seleksi malar segar yang mengimbau era awal K-pop, menjadikan suasana gelanggang seolah-olah sebuah mesin masa.

Bukan sekadar beraksi di pentas, kumpulan yang ditubuhkan sejak 2009 itu turut mencairkan perasaan ramai menerusi sesi interaksi, permainan dan aktiviti eksklusif.

Antara yang paling mencuri perhatian adalah permainan Guess the Song apabila penonton diminta meneka lagu hanya melalui intro pendek yang dimainkan secara rawak.

Selain itu, segmen Dance Relay Challenge turut melibatkan penonton menari bersama ahli T-ARA dari tempat duduk masing-masing mencetuskan sorakan dan gelak tawa.

Gelagat bersahaja Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon membuktikan jarak antara idola dengan peminat boleh lenyap sekelip mata apabila berada dalam suasana santai.

Apa yang paling mengujakan, kekuatan T-ARA masih terletak pada kemampuan mereka menghidupkan nostalgia tanpa kelihatan terperangkap dalam masa silam.

Setiap lagu yang didendangkan disambut sorakan membuktikan populariti kumpulan itu masih gemilang biarpun sebelum ini masing-masing sibuk dengan kerjaya solo.

Dari segi persembahan, empat sekawan itu juga tampil bertenaga dan cukup menghiburkan, malah interaksi spontan dengan penonton menjadi antara momen mencuri perhatian.

‘Saya sayang awak’, ‘awak hebat’, ‘kami cinta kamu’, antara kata-kata dalam bahasa Malaysia yang dipelajari daripada pengacara majlis turut membuatkan Queen’s bertepuk kegirangan.

Tidak perlu elemen kejutan atau tatakelola produksi berlebihan, karisma T-ARA sendiri sudah cukup menghidupkan suasana yang penuh emosi dan kenangan.

Segmen permainan bersama penonton juga diteruskan dengan kuiz mini berkaitan sejarah T-ARA, di mana peminat yang berjaya menjawab soalan menerima hadiah eksklusif.

Berkarisma

Summer Again akhirnya bukan sekadar sebuah fan-con, tetapi pertemuan semula antara empat figura yang masih kental sebagai kesayangan peminat.

Image from: Hidupkan nostalgia, T-ARA bikin peminat ‘cair’
Memberi ucapan manis dalam bahasa Malaysia yang dipelajari daripada pengacara majlis turut membuatkan Queen’s bertepuk kegirangan.

Pada hujung acara, mereka menutup persembahan dengan lagu yang membuatkan ramai penonton berdiri sambil melambaikan ‘lightstick’.

Selepas bertahun-tahun, T-ARA membuktikan satu perkara, ada dendangan sudah berusia, tetapi kenangan yang dicipta bersama Queen’s tidak pernah tua.

Sebelum di Mega Star, T-ARA sebelum ini pernah beberapa kali beraksi di Malaysia, termasuk showcase pada 2012, konsert terbuka di Johor Bahru (2015), K-pop Music Wave Concert di Pulau Pinang (2917) dan kemunculan di The Ye!loO Concert di Kuala Lumpur (2025). – KOSMO! ONLINE

The post Hidupkan nostalgia, T-ARA bikin peminat ‘cair’ appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved