

Hilang Hampir 90 Tahun Lalu, Pesawat Amelia Earhart Didakwa Ditemui
Sebuah syarikat penerokaan laut dalam telah mengeluarkan imej sonar yang didakwa memaparkan tinggalan pesawat Amelia Earhart yang hilang di Lautan Pasifik pada tahun 1937, lapor AFP.
Deep Sea Vision (DSV) iaitu sebuah firma yang berpangkalan di Carolina Selatan memberitahu imej itu ditangkap selepas satu carian meluas di kawasan Pasifik di sebelah barat yang menjadi destinasi rancangan Earhart, berdekatan Pulau Howland yang terpencil.
Memetik AFP, Amelia Earhart hilang semasa dalam penerbangan mengelilingi dunia bersama seorang pelayar, Fred Noonan.

Kehilangan penuh misteri
Dalam pada itu, kehilangannya merupakan salah satu misteri yang paling menarik dalam sejarah penerbangan, serta menjadi perbincangan ahli sejarah selama beberapa dekad. Kisah kehilangan ini turut dijadikan sebagai buku, filem serta menimbulkan pelbagai teori.
Ada pihak yang mendakwa bahawa semasa berada di salah satu pusingan terakhir perjalanan mereka, Amelia Earhart, 39, dan Fred Noonan, 44, kehabisan minyak pesawat.
Justeru, mereka terpaksa membuang enjin berkembar pesawat Lockheed Electra di Pasifik berhampiran Pulau Howland.
Menurut Ketua Eksekutif Deep Sea Vision, Tony Romeo, imej kabur yang ditangkap oleh kapal selam bawah air tanpa pemandu pada kedalaman 16,000 kaki (5,000 meter) menggunakan sonar imbasan sisi mendedahkan kontur yang mencerminkan dwi unik ekor dan skala kapal terbang yang bertingkat.

“Kami sentiasa merasakan bahawa dia akan membuat setiap percubaan untuk mendaratkan pesawat dengan lembut di atas air. Tambahan pula, kesan pada badan pesawat yang kami lihat dalam imej sonar menunjukkan perkara itu mungkin berlaku,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, pasukan penerokaan DSV menghabiskan 90 hari mencari di 5,200 batu persegi (13,500 persegi kilometer) dari dasar Lautan Pasifik.
Tambahnya lagi, pihaknya terpaksa merahsiakan lokasi sebenar penemuan untuk masa sekarang sekaligus merancang usaha pencarian selanjutnya.

Jelas Tony lagi, penemuan itu dibuat berdasarkan “Teori Garisan Tarikh” yang pertama kali dikemukakan pada 2010 oleh Liz Smith, bekas pekerja NASA.
Teori ini berpendapat bahawa Fred Noonan terlupa untuk menukar semula kalendar sehari semasa mereka terbang di atas Garisan Tarikh Antarabangsa. Ia mengakibatkan pengiraan navigasi yang salah dan ralat navigasi ke arah barat sejauh 60 batu (100 kilometer).
Untuk pengetahuan, Amelia Earhart dikenali sebagai wanita pertama yang terbang solo merentasi Atlantik pada tahun 1932.

Pada 20 Mei 1937, dia berlepas bersama pesawatnya dari Oakland, California dengan harapan untuk menjadi wanita pertama yang terbang mengelilingi dunia. Namun, dia dan Fred Noonan hilang pada 2 Julai 1937 selepas berlepas dari Lae, Papua New Guinea.
Dia melakukan cabaran penerbangan sejauh 2,500 batu (4,000 kilometer) untuk mengisi minyak di Pulau Howland, sebuah wilayah Amerika Syarikat di antara Australia dan Hawaii. Walau bagaimanapun, mereka tidak berjaya.
Sumber: AFP
The post Hilang Hampir 90 Tahun Lalu, Pesawat Amelia Earhart Didakwa Ditemui appeared first on Siakap Keli.


