Hilang Kelayakan BUDI95 Jika Lesen Memandu Tamat Tempoh Lebih 3 Tahun

LocalPolitics
26 Mar 2026 • 11:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang tamat tempoh melebihi 36 bulan tidak lagi layak menerima subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan hanya lesen yang masih sah atau tamat tempoh tidak melebihi 36 bulan dari tarikh pembaharuan terakhir diklasifikasikan sebagai aktif.

“LMM yang dikategorikan sebagai aktif adalah lesen yang tamat tempoh tidak melebihi 36 bulan daripada tarikh akhir pembaharuan sebelumnya. 

Dalam tempoh ini, pemegang lesen masih layak menerima subsidi BUDI95 dan boleh memperbaharui lesen secara terus tanpa perlu menjalani sebarang ujian tambahan.

“Bagaimanapun, jika lesen memandu telah tamat tempoh melebihi 36 bulan, pemegang lesen tidak lagi layak menerima subsidi BUDI95,” menurut kenyataan tersebut.

JPJ turut menjelaskan bahawa bagi lesen yang telah tamat tempoh melebihi tempoh tersebut, pembaharuan tidak boleh dilakukan secara terus. 

Sebaliknya, pemegang lesen perlu menduduki semula ujian kompetensi memandu di mana-mana Institut Memandu.

Sehubungan itu, JPJ menggesa semua pemegang lesen memastikan lesen masing-masing diperbaharui dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan status tidak aktif.

Langkah itu penting bagi memastikan kelayakan berterusan menerima subsidi serta mengelakkan kesukaran dalam proses mendapatkan semula lesen memandu.

Sementara itu, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan akan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter menerusi pelaksanaan BUDI95.

Harga diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada RM2.15 seliter. - Getaran, 26 Mac 2026