
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, polis sedang mengesan seorang kanak-kanak perempuan, Nurjilya binti Abdullah yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Numbak Bakau, Sepanggar, Sabah sejak 13 Julai lalu sekitar jam 10.00 pagi.
Sewaktu kali terakhir Nurjilya dilihat, kanak-kanak yang berusia 11 tahun itu memakai baju-T berwarna putih, berseluar pendek berwarna kuning dan tidak memakai selipar.
Mayat Nurjilya Ditemui Mereput Dalam Semak, Ada Kecederaan Pada Muka & Belakang Kepala
Walau bagaimanapun, misteri kehilangan Nurjilya akhirnya terjawab selepas ditemui sudah meninggal dunia di kawasan cerun semak atas bukit berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Numbak pada Rabu (15 Julai).
Lebih menyayat hati, mayat kanak-kanak itu ditemui dalam keadaan mereput sehingga bahagian kepala serta mukanya tidak dapat dicam.
Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian Nurjilya dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala disyaki kesan dari hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, pihaknya menerima maklumat dari orang awam mengenai penemuan mayat pada jam 10.38 malam.
Ibu Mangsa Cam Identiti Anak Melalui Pakaian Terakhir Yang Dipakai Ketika Hilang
Terang Syed Lot, hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa telah berada dalam keadaan mereput.
“Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul,” katanya.
2 Individu Ditahan Bantu Siasatan, Motif Kejadian Masih Disiasat
Bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, dua lelaki kemudiannya telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman untuk membolehkan siasatan diteruskan.
“Motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan,” jelasnya.
Kes Disiasat Mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan
Pada masa sama, Syed Lot menasihatkan agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh mengganggu siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
“Siasatan diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, ahli keluarga serta penduduk kampung giat melaksanakan usaha mengesan kanak-kanak berkenaan sehingga hebahan turut dibuat menerusi WhatsApp kampung dan keluarga.
Namun, Nurjilya gagal dikesan sebelum Polis Daerah Kota Kinabalu membuat hebahan mengenai kehilangannya.
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-kanak Perempuan Hilang Di Johor, Albertine Leo Ditemui Selamat Di Batang Kali
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-Kanak Autisme Hilang Sejak Semalam, Iengkap Berseragam Sekolah



